Antara Dinar , Dirham Kelantan & Dinar , Dirham Perak

Perak perkenal dinar emas untuk simpanan, pelaburan

IPOH 26 Jan 2011. – Dinar emas dan dirham perak yang akan dilancarkan oleh kerajaan negeri Perak pada penghujung bulan depan adalah dalam bentuk instrumen simpanan dan pelaburan dengan tujuan untuk memberi keuntungan kepada rakyat.

Pengerusi Goldnet International Sdn Bhd, Datuk Rais Hussin berkata, dinar emas dan dirham perak itu tidak akan digunakan sebagai mata wang seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan sebelum ini.

“Goldnet International dan kerajaan negeri Perak akan mengambil peluang meneroka pengalaman luas Kuwait Finance House (KFH) yang sebelum ini telah menawarkan akaun emas di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, dinar emas dan dirham perak itu akan dikeluarkan oleh Goldnet International Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat usaha sama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP). – Bernama

Dinar: Kelantan sedia kerjasama dengan Perak

KOTA BHARU 8 Nov 2010. – Kerajaan Kelantan sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak bagi memperkembangkan penggunaan dinar emas dan dirham perak.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata pihaknya sedia menjalinkan kerjasama dengan Perak kerana negeri itu pernah mengumumkan untuk melaksanakan penggunaan dinar dan dirham sebelum ini.

“Kita akan bekerjasama jika dinar emas dan dirham perak yang akan dilaksanakan negeri itu nanti melaksanakan dinar yang betul (menepati piawaian antarabangsa yang sah),” katanya menjawab soalan Hanifa Ahmad (PAS-Pengkalan Pasir) di persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Malahan Husam berkata, pihaknya akan memperluaskan penjualan dinar dan dirham yang dikeluarkan di Kelantan ke Selangor dan Terengganu dengan menggunakan ejen swasta yang disyaratkan perlu mempunyai modal RM500,000 bagi menjadi ejen.

Beliau berkata setakat ini bekalan dinar emas di Kelantan tidak mencukupi disebabkan permintaan yang menggalakkan dan pihaknya sentiasa mengalukan pelaburan daripada luar untuk memperluaskan pelaksanaan dinar emas dan dirham perak.

Husam berkata, kerajaan negeri sedang menunggu satu pelaburan daripada luar yang akan membuat pelaburan RM5 juta bagi membolehkan dinar emas dikeluarkan.

“Kita juga merancang untuk menubuhkan sebuah institusi simpanan atau wadiah yang bertujuan menyimpan dinar kerana buat masa ini kita tidak mempunyai wadiah yang rasmi,” katanya.

Jika institusi simpanan itu dapat ditubuhkan, Husam berkata, kerajaan negeri akan mengeluarkan kad yang dinamakan kad e-dinar yang boleh digunakan oleh pengguna untuk melakukan transaksi dinar dan dirham di seluruh dunia. – BERNAMA

One comment

  1. Allah bila lah dinar ni, betul leh jadi kenyataan pengunaan dia cam Datuk Husam Musa cakap ada institusi simpanan atau wadiah yang rasmi dan kad yang dinamakan kad e-dinar yang boleh digunakan oleh pengguna untuk melakukan transaksi dinar dan dirham di seluruh dunia. seronok dengar.

    [Reply]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *