Pelabur Keluarkan Berbilion Matawang Yuan

Para pelabur China mengeluarkan berbilion-bilion mata wang yuan dari bank-bank utama dalam tempoh 10 hari pertama bulan ini, lapor akhbar 21st Century Business Herald semalam.

Deposit wang merosot 400 bilion yuan (RM200.3 bilion) semasa mata wang yuan berada dalam tekanan paling besar sejak ekonomi global merudum pada 2008 dengan ekonomi domestik perlahan serta kekalutan masalah kewangan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) meningkatkan permintaan untuk dolar AS.

Pengeluaran wang yuan itu bakal menjejaskan pinjaman dengan empat buah bank utama mengeluarkan hanya 30 bilion yuan (RM15.03 bilion) dalam bentuk pinjaman baharu dalam tempoh 10 hari.

Bank-bank China mengeluarkan yuan berjumlah 562.2 bilion (RM281.6 bilion) pada November lalu.

Menurut akhbar 21st Century Business Herald yang memetik sumber-sumber, separuh daripada pengeluaran wang itu adalah daripada Bank of China yang mempunyai perniagaan tukaran wang asing terbesar.

Akhbar itu melaporkan, beberapa buah bank lain yang terjejas ialah Industrial and Commercial Bank of China, China Construction Bank dan Agricultural Bank of China.

Para penyimpan wang mungkin mengeluarkan dana masing-masing kerana mereka sangsi mata wang yuan akan mengukuh pada tahun depan.

China yang bergantung kepada eksport melaksanakan kawalan ketat ke atas mata wang yuan.

Pengkritik-pengkritik menyifatkan kawalan tersebut tidak adil kerana ia membolehkan China menjual produknya pada harga murah.

Ketika permintaan untuk produk China semakin lemah, pemerintah dijangka bertindak untuk menghalang penyusutan nilai yuan bagi mengelakkan kejatuhan eksport dan kehilangan pekerjaan di sektor pengilangan yang menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *