Perkenalkan Dinar/Dirham-Dr Hakimi Ibrahim
Dr Hakimi Ibrahim. Utusan Malaysia: Rencana (06/10/1998)
APAKAH yang tersirat di sebalik laungan reformasi sekarang? Laungan-laungan itu tidak pun disertai dengan ajakan untuk reformasi sistem kewangan yang dibelenggu oleh pengamal riba.
Soros, Cohen, Camdessus, IMF dan konco-konconya patut diperangi.
Kita perlu mengenal musuh dan mengetahui kaedah peperangan riba yang pada peringkat awal ini hanya menggunakan indeks-indeks pasaran yang diperjudikan.
Perdana Menteri kita Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad lebih terkehadapan dengan membuat reformasi kewangan yang besar ke arah membebaskan diri dari cengkaman ahli riba termasuklah menyisihkan mereka yang kelihatan bagaikan bersimpati dengan parti riba seperti IMF.
Sementara itu wacana islamisasi ilmu dan sains telah menjadi seiring dengan islamisasi bank dan lain-lain instrumen dalam sistem kewangan Barat.
Label-label yang lebih bermoral dalam sistem kewangan digunakan dengan niat baik tanpa menyedari bahawa wang yang digunakan itu adalah wang yang boleh dijual beli, dispekulasi dan diturun naikkan nilainya serta tiada sandaran emas lagi.
Pendek kata wang sekarang tiada nilai hakiki dan telah menjadi suatu komoditi. Wang untuk beli wang. Proses islamisasi pula terperangkap dalam islamisasi institusi dan bukan mengislamkan insan.
Jika wang sudah menjadi komoditi maka tidak hairanlah perkara-perkara seperti pendidikan dan perubatan pun menjadi komoditi. Selagi wang sebagai komoditi tidak dihalang maka jangan haraplah isu seperti pengkomoditian pendidikan boleh diselesaikan kerana yuran universiti pun menari mengikut rentak indeks mata wang. Imej baik seseorang pun lazim dikomoditikan terutama oleh pihak media dan sesetengahnya mengidolakan imej tersebut.
Imej baik menyebabkan seseorang itu tidak boleh salah kerana dia kelihatan terlalu baik.
Tanpa disedari umum menjadikannya seorang model seperti mana Diana diidolakan dalam idealisme Cinderella. Idealisme dan moraliti seseorang mungkin dipertaruhkan dan mungkin dipertuhankan. Awasilah isme dalam idealisme atau moralisme. Mungkin sekarang kita sedang melihat Anwarisme pula.
Sekarang adalah masa untuk membuang imej diri sesiapa pun yang nampak seolah-olah bersekongkol dengan parti riba. Kita mahu lepas bebas dari pengaruh Cohen, Camdessus, Rubin, Soros dan polisi riba IMF. Kita mahu bebas dari pengaruh luar. Kita mahu sistem wang yang benar-benar bebas.
Anwar mungkin berniat baik. Mungkin beliau mahukan proses pemoralan atau islamisasi bank dilanjutkan kepada islamisasi IMF walaupun polisi riba IMF lebih mencengkam. Walau bagaimanapun selagi beliau tidak melihat kepentingan dinar emas dan dirham perak yakni wang yang terdapat dalam wahyu Ilahi maka selagi itulah konsep islamisasinya tidak memberi sebarang makna langsung.
Kita mesti memahami bahawa kita dalam keadaan ‘perang riba’ sebagaimana periystiharan perang oleh Allah dan Rasul-Nya di dalam al-Quran terhadap pengamal riba. (Lihat surah al-Baqarah ayat 278/9).
Niat baik sahaja tidak cukup kerana kita mungkin terperangkap dalam jerat riba. Kita tidak mengatakan seseorang itu ahli riba tetapi yang penting kita mesti jauhkan diri dari parti riba. Bandingan keburukan yang Allah berikan tentang riba adalah sangat dahsyat seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut.
Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ” Riba ada 70 bahagian. Yang paling kecil bersamaan dengan seorang lelaki berkahwin dengan ibunya sendiri”. (Ibn Majah, Baihaqi). Abduh (1845-1905) mahu memodenkan sistem kewangan Islam apabila menfatwakan halalnya faedah dari wang simpanan. Kemudian muridnya Rashid Redha telah meneruskan kepercayaan tersebut seperti tulisan-tulisannya dalam al-Manar.
Abduh bermula dengan menghalalkan (islamisasi) faedah bank dan sekarang ramai pula beranggapan islamisasi bank dan bursa saham sudah memadai dalam menghadapi riba. Adakah riba Islam?
Kita tidak bermaksud mengatakan semua orang menghalalkan riba dan begitu juga dengan gerakan Islam yang ada. Tulisan ini ingin juga menghuraikan tentang ‘pengaruh kefahaman’ tentang riba yang bermula dari Abduh menghalalkan faedah bank dan seterusnya di era ini segolongan para korporat baru Islam merasa sudah cukup dengan melabelkan bank dengan nama yang bermoral. Bursa-bursa Islam pun timbul beserta dengan pemoralan instrumen kewangan tanpa menyedari hakikat wang dan sistemnya. Dr Mahathir sendiri pernah memberi komen bahawa bursa-bursa saham pun sudah mula menampakkan tabiat judi.
Pengaruh kefahaman tentang riba oleh Abduh sememangnya menular hingga sekarang. Jika begini Abduh mungkin silap kerana fatwa dengan niat baik beliau tidak melepaskan kita dari dipermainkan oleh para spekulator yang boleh bermain dengan kadar faedah untuk faedah mereka. Dalam pada itu mata wang pula boleh dijual beli.
Pengaruh perbicaraan tentang faedah tadi menyebabkan kita tidak boleh balik ke akar umbi mengenai wang dalam Islam. Ramai orang terperangkap dengan pengaruh kefahaman tentang riba yang hanya memperkatakan tentang faedah sahaja. Jika tidak ambil faedah maka sudah lepas dari riba? Jika labelkan Islam pada instrumen riba maka bebaslah kita dari riba?
Persoalan pokok bukannya tentang faedah.Persoalan faedah hanyalah suatu decoy atau umpan untuk memerangkap kita dari zaman Abduh hingga kini. Wang simpanan kita mungkin berbunga (atau untung?) sehingga 100 peratus tetapi sebenarnya faedah atau bunga itu tidak berfaedah langsung jika wang boleh disusut nilai oleh ahli riba.
Di negara jiran, wang disusut nilai sehingga lebih dari 500 peratus lalu mempapa kedanakan rakyat. Jadi wang itu sendiri tiada nilai hakiki. Sekarang kadar faedah pula yang menentukan nilai wang. Jelasnya umpan tadi menyebabkan kita akan terus berdebat tentang faedah dan tidak akan mempertikaikan tentang sistem wang yang sudah tiada sandaran emas lagi. Wang sekarang hanyalah kertas dan signal elektronik yang boleh dijual beli dan bukan lagi barangan sebenar seperti emas dan perak seperti zaman ketika Islam berkuasa. Imam Malik r.a berkata wang mestilah barangan. Wang sekarang bukan barangan dan dengan itu wang sudah mati seperti yang tertulis dalam buku The Death of Money oleh Kurtzman.
Tidak hairan jika faedah itu dikatakan halal kerana ia memang kelihatan ‘halal’ jika sistem ‘wang kertas tanpa sandaran’ yang boleh dispekulasi itu dihalalkan terlebih dahulu. Sistem faedah bank ini hanyalah lanjutan dari penerimaan sistem kertas tanpa sandaran emas dan penyisihan dinar emas dan dirham perak yakni mata wang seperti terdapat di dalam al-Quran.
Sistem wang kertas tanpa sandaran memang didominasi oleh pihak Amerika dan ahli riba melalui wang kertas dolar Amerika. Sistem kertas sepatutnya hanya boleh diterima sebagai ‘fulus’ atau wang pecah. Dalam hal riba ini kerajaan Malaysia telah berani mencabar sistem riba wang kertas dengan menyeru supaya diharamkan jual beli wang.
Kawalan ringgit Malaysia yang dilakukan sekarang menunjukkan kesungguhan kita untuk menjadikan mata wang bebas dari para spekulator dan dengan itu bebas dari ahli riba seperti Soros. Kita juga mahu terlepas dari cengkaman parti riba seperti IMF.
Pembatalan wang kertas RM1000 dan RM 500 sebenarnya suatu langkah yang sangat bersesuaian dalam mengetengahkan dinar dan dirham. Nilai dinar emas buat masa ini adalah tidak lebih dari RM200 maka sekarang dengan pembatalan tadi, sudah tidak ada lagi wang kertas yang melebihi nilai Dinar. Wang kertas paling besar hanyalah RM100.
Sekarang wang kertas sudah mula sesuai dijadikan sebagai ‘fulus’ yakni sebagai ‘duit pecah’ sahaja. Kita berharap dinar dan dirham akan dapat diperkenalkan secara selari dengan fulus (wang kertas yang tidak lebih dari RM100 bersama dengan syiling-syiling logam lain.)
Jika kita perkenalkan dinar dan dirham bermakna kita telah mengembalikan sistem mata wang Islam. Secara serentak wang kertas yang masih ada pun akan tersandar pada emas. Pihak kerajaan boleh menetapkan setiap dinar bersamaan dengan RM200 sebagai contoh.
Maka kita ada sistem yang selari tanpa perlu membuang ringgit Malaysia. Dengan itu kita tidak perlu menjual emas kita untuk ditukarkan dengan dolar Amerika tetapi terus mencair atau meleburkannya untuk ditempa menjadi wang sejati. Inilah liquidity sebenar.
Apabila ini berlaku maka zakat wang yakni dinar dan dirham boleh dengan mudah dikira tanpa merujuk kepada kadar tukaran asing atau harga belian emas.
Menurut kaedah zakat setiap 40 keping dinar yang cukup tempohnya wajib dibayarkan sekeping. Setiap 200 keping dirham pula dibayar 5 keping dirham.
Usaha kerajaan untuk membebaskan kita dari cengkaman riba dengan membuat reformasi sistem kewangan adalah bersesuaian dengan seruan Mufti Mesir, Dr. Nasir Farid Wasil supaya ditegakkan kembali kekuatan ekonomi Islam berasaskan mata wang emas dan perak bagi menggantikan dolar Amerika Syarikat. Maka piawaian baru antara negara-negara Islam ialah dinar dan dirham.
Akhir sekali, sekarang ialah masa untuk golongan Islam tidak kira dari ABIM, JIM, ASASI, Pas, UMNO atau mana-mana pihak sekalipun (termasuklah saudara Anwar) bersama-sama dalam peperangan ke atas riba seperti mana yang diisytiharkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Janganlah kita tergolong dalam golongan yang diperangi oleh Allah dan Rasul-Nya. Ini bukan masa untuk politik peribadi. Inilah reformasi sebenar.
Tindakan yang lebih drastik tetapi menurut fitrah ialah memperkenalkan dinar dan dirham. Ayuh! Dr M. Malaysia Boleh!
Nota: Dinar (syiling emas 22 karat seberat 4.3 gm), dirham (syiling perak seberat 3 gm).
Oleh: DR. HAKIMI IBRAHIM
http://goldemas.com/blog/perkenalkan-dinar-dirham.html