Pinjaman ASB Perlu Strategi Yang Betul
Setiausaha Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MPFC), Anuar Shuib, berkata pinjaman ASB adalah satu contoh yang baik kerana dengan meminjam, orang ramai boleh melabur. “Ia adalah langkah terbaik bagi seseorang mengembang dan menggandakan wang.
Namun, ramai yang silap mengatur strategi hingga menyebabkan mereka terpaksa menebus awal kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan apabila komitmen kewangan bertambah,” katanya ketika di temui baru-baru ini.
Anuar berkata, adalah penting untuk pelabur mengenal pasti kemampuan membayar ansuran bulanan sebelum membuat sebarang komitmen supaya matlamat pelaburan menerusi pinjaman ASB mampu menjadi kenyataan.
“Langkah ini dapat mengelak pelabur daripada mengeluarkan agihan pendapatan tahunan ASB untuk membayar ansuran bulanan kerana agihan pendapatan sebenarnya adalah faktor yang akan mengembangkan pelaburan dari tahun ke tahun,” katanya.
Meminjam untuk melabur membolehkan pelabur menerima pulangan dalam jumlah yang lebih besar, lebih cepat kerana pelaburan dibuat secara sekali gus berbanding jika pinjaman dibuat secara sedikit demi sedikit. Ini membantu pelaburan berkembang lebih pantas.
Perancangan Kewangan
Pinjaman ASB ditawarkan oleh bank seperti Maybank, CIMB Bank, RHB Bank, Affin Bank dan Bank Simpanan Nasional. Jumlah pinjaman maksimum yang ditawarkan ialah RM200,000 dengan tempoh pinjaman sehingga 30 tahun.
Anuar berkata, sebelum meminjam pelabur dinasihatkan untuk membuat perancangan kewangan dan menetapkan matlamat yang ingin dicapai. “Tidak semestinya kita mengambil pinjaman sehingga RM200,000 untuk tempoh 30 tahun walaupun kita mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian pada masa sekarang kerana kemampuan kewangan seseorang berubah mengikut perjalanan hidup, contohnya apabila berkeluarga, membeli rumah dan sebagainya,
Pinjam Ikut Kemampuan
“Apabila melabur, penting untuk menetapkan matlamat jangka panjang, justeru adalah lebih baik pinjaman diambil mengikut kemampuan,” katanya.
Sebagai contoh, pelabur yang baru bekerja boleh mengambil pinjaman ASB sebanyak RM10,000 untuk tempoh 20 tahun dan mereka perlu membayar kira RM70 sebulan.
Pelabur bakal mempunyai tabungan berjumlah RM42,000 pada akhir tempoh pinjaman sekiranya kadar pulangan purata ASB ialah 7 peratus setahun. Pelabur boleh menambah pinjaman ASB dari semasa ke semasa sekiranya mereka mempunyai keupayaan kewangan untuk berbuat demikian.
Anuar berkata, menebus pinjaman ASB untuk keuntungan jangka pendek atau kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan adalah satu kerugian kerana kos melepas (opportunity cost) yang perlu ditanggung pelabur agak besar.
“Kos melepas di sini ialah masa kerana setiap pelaburan yang dilaburkan untuk satu tempoh yang panjang, mempunyai peluang untuk berkembang lebih besar berbanding pelaburan dengan tempoh yang pendek.
“Jumlah tabungan yang mampu dikumpul pastinya tidak sama jika pelabur terpaksa bermula semula,” katanya. Anuar berkata, pelabur yang bergantung kepada dividen tahunan untuk membayar ansuran bulanan juga berdepan risiko ketidaktentuan kerana sebagai instrumen unit amanah, agihan pendapatan tahunan ASB adalah berubah-ubah bergantung kepada persekitaran semasa.
“Katakan tiba-tiba agihan pendapatan ASB lebih rendah berbanding caj bank, adakah pelabur mempunyai keupayaan untuk membayar ansuran bulanan? Mereka mungkin terpaksa menebus pinjaman berkenaan yang menyebabkan mereka kehilangan tabungan jangka panjang.
“Perlu diingat apabila kita menebus pinjaman sebelum tempoh matang, sudah pasti kita perlu membayar baki pinjaman dan kos lain yang berkaitan dan akhirnya kita hanya menerima sejumlah kecil baki pelaburan. “Ini adalah satu kerugian kerana jika kita bijak merancang apabila meminjam untuk melabur, kita pastinya akan memiliki sebuah tabungan yang kukuh apabila sampai tempoh pinjaman matang,” katanya.
Tip Meminjam Untuk Melabur
Meminjam untuk melabur membolehkan pelaburan berkembang lebih pantas kerana pelabur menerima pulangan dalam jumlah yang lebih besar, lebih cepat berbanding jika pelaburan dibuat secara sedikit demi sedikit.
Kuasa faedah kompaun akan mengembangkan pelaburan dengan syarat agihan pendapatan dilaburkan semula dan pelaburan dibuat untuk jangka panjang.
Jika agihan pendapatan dikeluarkan, pelaburan tidak akan berkembang dengan pantas.
Pastikan anda mampu membayar ansuran bulanan menggunakan wang sendiri, bukannya daripada agihan pendapatan tahunan.
Buat analisis mengenai kemampuan kewangan diri sebelum membuat komitmen supaya matlamat membina tabungan kukuh mampu dicapai.
Kredit : http://www.bharian.com.my/node/228716