Public Gold Berhasrat Tembusi Pasaran Asia

KUALA LUMPUR 27 Mac – Public Gold Marketing Sdn. Bhd. (Public Gold) berhasrat menembusi pasaran Asia melalui pembukaan cawangannya di Brunei, Indonesia dan Filipina menjelang Mei ini.

Pengerusinya, Datuk Louis Ng berkata, Sijil Pengesahan Patuh Syariah yang diterima Public Gold baru-baru ini diharap memberi keyakinan kepada umat Islam untuk menyertai kegiatan pelaburan dan jual beli emas tanpa was-was.

“Majoriti rakyat Brunei dan Indonesia beragama Islam dan sudah tentu mereka mengalu-alukan perniagaan emas berasaskan syariah bagi melakukan pelaburan.

“Justeru, Public Gold dijangka dapat memperluaskan pasaran ba­­haru di negara-negara Islam terutamanya di Asia memandangkan pasaran emas global semakin kukuh,” kata­nya selepas mengha­diri Se­minar Patuh Syariah Public Gold Sdn. Bhd. di Subang Jaya semalam.

Yang turut hadir, Naib Presiden Persatuan Emas Malaysia, Datuk Abdul Wa­hab Hamid; Ketua Pe­gawai Eksekutif Amanie Advisors, Mohd. Zikry Mohd. Shairy dan Penga­sas Jutawanemas.com, Syukor Hashim.

Lebih 100 peserta menyertai seminar yang dikendalikan Mohd. Zik­ry itu bagi mendapatkan maklumat berhubung isu-isu berkaitan pelaburan patuh syariah termasuk dalam kegiatan jual beli emas.

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *