Syiling Emas,Perak dan Tembaga Memperingati P. Ramlee

KUALA LUMPUR: Seiring dengan usaha dan kempen untuk memperingati seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, KL Mint Sdn Bhd mengeluarkan syiling tokoh seni itu dalam tiga koleksi yang bersalut emas, perak dan tembaga.

Menurut Pengarah Projek KL Mint, Mohd Saiful Abd Latif perancangan untuk mengeluarkan koleksi syiling yang julung kali dilakukan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memartabatkan P. Ramlee.

“Seperti yang kita semua maklum, P. Ramlee adalah legenda seni yang agung. Sebelum ini, memang tiada lagi koleksi syiling dikeluarkan khas untuk karyawan seni tanah air.

“Jadi, kami mengambil inisiatif untuk mengeluarkan koleksi syiling ini sebagai tanda penghargaan kepada tokoh itu dan juga untuk disimpan sebagai warisan seni negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Saiful berkata, keputusan untuk mengeluarkan koleksi syiling itu adalah berdasarkan nilai dan keistimewaannya yang bukan saja menjadi buruan para pengumpul syiling malah ia juga tahan lama.

“Kami memilih untuk mengeluarkan koleksi syiling berbanding poster, poskad atau barangan koleksi lain adalah kerana nilai dan ciri-ciri wang syiling yang boleh diwariskan kepada generasi seterusnya.

“Jika hendak dibandingkan dengan koleksi peribadi yang lain seperti poster, poskad atau album, nilai wang syiling ini lebih tahan lama dan menjadi idaman bagi penggemar koleksi wang syiling,” katanya.


Dr. Rais Yatim (dua, kiri) melihat koleksi syiling peringatan P. Ramlee sambil diperhati oleh Datuk Freddie Fernandez (kanan) pada majlis pelancaran “Heritage Series P. Ramlee On Coin” di Balai Seni Lukis Negara di sini, Khamis. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif KL Mint, Othman Abdullah (dua, kanan).

Bercerita tentang idea pencetakan syiling tersebut, Saiful berkata, projek yang dirancang sejak awal tahun 2010 itu diilhamkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KL Mint sendiri iaitu Othman Abdullah sebelum mendapat kerjasama daripada pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Persatuan Karyawan Malaysia dan Balai Seni Lukis Negara.


Koleksi syiling yang bernilai RM3500 ini boleh didapati dalam bentuk pakej pek emas, perak dan tembaga.

Koleksi syiling peringatan itu setiap satu dijual dengan harga RM3,500 untuk syiling emas, RM250 (perak) dan RM50 (tembaga). Menariknya, bagi setiap pembelian syiling emas, pembeli juga bakal mendapat syiling perak dan tembaga.

Katanya, koleksi syiling emas dan perak hanya akan dicetak masing-masing 1,000 keping manakala bagi syiling tembaga pula bergantung pada permintaan.

Sebahagian daripada hasil jualan koleksi syiling itu akan disalurkan kepada tabung Karyawan dan Yayasan P. Ramlee.

Pameran dan jualan koleksi syiling ini akan berlangsung selama sebulan di Balai Seni Lukis Negara bermula Jumaat (hari ini).

Pelancarannya yang diadakan di Balai seni Lukis Negara, Khamis, disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Ia turut dihadiri Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez. – Kredit mStar

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *