Warga emas rugi lebih RM1 juta

TAIPING: Impian seorang pesara sektor swasta memperoleh pulangan hampir 10 kali ganda hasil pelaburan emas musnah apabila kerugian lebih RM1 juta selepas diperdaya skim pelaburan emas tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata mangsa iaitu lelaki berumur 60 tahun itu ditawarkan oleh seorang wanita yang dikenalinya menerusi aplikasi temu janji dalam talian untuk melabur dalam skim pelaburan emas yang dikenali sebagai ‘Alpha Tradex’.

“Mangsa memasukkan wang berjumlah RM1,177,950 secara berperingkat melalui lapan akaun yang diberikan oleh suspek terbabit, mendakwa dirinya sebagai wanita warga Singapura, bagi pelaburan itu.

“Kononnya, hasil pelaburan yang ditawarkan itu membolehkan mangsa mendapat keuntungan mencecah AS$2,712,447 (RMRM11,278,353.54),” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Osman berkata, ketika ingin menunaikan (mengeluarkan) wang keuntungan dari pelaburan itu, mangsa diberikan satu resit transaksi kemasukan wang ke dalam akaunnya.

“Bagaimanapun, apabila membuat semakan pada akaun miliknya, mangsa mendapati tiada kemasukan wang seperti yang tercatat pada resit berkenaan.

“Mangsa seterusnya membuat semakan di bank, sebelum mendapati resit transaksi yang ditunjukkan oleh suspek adalah palsu. Beliau kemudiannya,membuat laporan polis mengenai kerugian yang ditanggungnya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan siasatan lanjut masih diteruskan.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/11/749748/warga-emas-rugi-lebih-rm11-juta?fbclid=IwAR1gGKvGUVFiem6c63V5JG42YYvxxCp_Gy1mDQhJ0Sk3iFZfr8PqdEBHbl8

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *