“Datuk” Lombong Emas Umur 20-an Didakwa Menipu
KOTA BHARU – Seorang pemuda 20-an yang mengaku dirinya ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ bersama adik mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret, di sini, semalam, atas dakwaan menipu dua mangsa membabitkan kerugian RM260,000.
Tertuduh, Ab Arif Idris, 28, didakwa mendorong dan memperdaya Nik Mohd Asri Nik, 43, dengan mengaku sebagai tauke lombong emas di Sumatera, Indonesia dan menawarkan urusan pelaburan emas yang tidak wujud serta mendorong mangsa membayar tunai berjumlah RM150,000.
Bayaran itu dibuat kononnya bagi tujuan modal pelaburan yang serahkan mangsa kepada tertuduh di tempat letak kereta aras bawah sebuah pusat membeli-belah, di Jalan Hamzah, di sini, pada 19 September 2012.
Sementara, pada tuduhan berasingan, Ab Arif bersama adiknya, seorang kontraktor, Abdul Muhammad Farham, 24, didakwa mendorong dan memperdaya seorang peniaga, Mat Zawawi Mohd Noor, 46, bagi bayaran sekilogram jongkong emas yang dijelaskan dengan cek tunai bernilai RM40,000 dan RM30,000.
Kesalahan pada tuduhan pertama itu didakwa dilakukan di sebuah kopitiam di Kubang Kerian, di sini, pada 8 Oktober tahun sama.
Pada 9 Oktober 2012, Mat Zawawi sekali lagi didorong kedua-dua tertuduh dan menyerahkan dua cek berjumlah RM40,000, masing-masing RM20,000.
Ketiga-tiga tuduhan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ainun Zafirah Abd Halim dan Mohamad Firdaous Mohamed Idris menawarkan jaminan RM130,000 terhadap Ab Arif dan RM80,000 ke atas Abdul Muhammad Farham.
Tawaran tinggi itu dibuat atas alasan mereka yang mengambil kira jumlah kerugian tinggi di alami mangsa-mangsa yang terlibat.
Peguam, Zulhilmi Mokhtar, bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan dengan hujah wang jaminan bukanlah satu bentuk hukuman, sebaliknya adalah cagaran bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah ketika perbicaraan selain mencadangkan syarat lain kepada mereka.
Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed yang mendengar kes berkenaan kemudian membenarkan Ab Arif diikat jamin RM24,000, manakala adiknya RM12,000 serta pasport mereka ditahan sehingga kes tersebut selesai.
Abdul Muhammad Farham bebas selepas menjelaskan jaminan, Ab Arif setakat semalam masih ditahan. Sinar Harian http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/datuk-lombong-emas-umur-20-an-didakwa-tipu-1.476938