Hati-Hati Pilih Ajen Pelaburan Emas

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati dalam memilih ejen sebelum membuat sebarang pelaburan melibatkan jongkong emas.

Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan pelabur menjadi mangsa penipuan ejen yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, orang ramai harus berhati-hati dan menyelidik terlebih dahulu latar belakang ejen dan memastikan ejen tersebut berdaftar serta bertauliah.

“Harus diingat ada ejen yang mengambil untung atas angin, jadi adalah lebih baik sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berkaitan sebelum bersetuju untuk membuat pelaburan.

“Jangan mudah percaya dengan kata-kata ejen yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas rintihan pengadu dikenali Tsuri di dalam ruangan Forum Utusan Malaysia semalam yang merasakan dirinya tertipu selepas cuba menjual semula ketulan emas miliknya di sebuah kedai dengan harga yang lebih rendah daripada harga belian dan semasa.

Tambahnya, adalah lebih baik sekiranya pelaburan emas itu dijadikan pelaburan jangka panjang dan bukannya untuk pelaburan jangka pendek.

Sementara itu, Profesor Kewangan dan Perbankan di Kolej Perniagaan, UUM, Prof. Dr. Norhayati Ahmad menegaskan orang ramai perlu meneliti dan mengkaji pelaburan emas yang ingin disertai.

Katanya, sebelum membuat pelaburan, orang ramai haruslah mempersiapkan diri dengan mendapatkan pengetahuan berkenaan selok-belok pelaburan.

“Dengan adanya pengetahuan, ia sedikit sebanyak membantu dalam membuat keputusan dan mengelakkan diri daripada ditipu.

“Oleh itu, sebaiknya sebelum membuat sebarang keputusan kita sudah memiliki pengetahuan secukupnya berkenaan dengan pelaburan yang ingin kita sertai dan orang di dalamnya,” katanya. – Utusan Malaysia Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *