Kembalikan ‘Mata Wang Islam’ Yang Sebenar
Salam sahabat emas….cerita emas kali ini bukanlah cerita saya , tetapi cerita seorang sahabat yang mengikuti satu Seminar Dinar Emas 2009 di Universiti Malaya anjuran PMKUM pada Sabtu, 21 Februari 2009.Rupa-rupanya ramai yang sedang giat mengembalikan mata wang Islam di Malaysia.So mulai sekarang , saya merupakan salah seorang ahli tidak rasmi akan cuba mempromosi dinar emas di samping menjual jongkong emas dan dinar.Sebagai renungan untuk kita semua , sila baca artikel dibawah sampai habis….
Pengalaman untuk turut serta dalam Seminar Dinar Emas 2009 di Universiti Malaya anjuran PMKUM pada Sabtu, 21 Februari lepas adalah pengalaman yang sangat bermakna buat diri saya. Apatah lagi seminar ini menghimpunkan tokoh-tokoh besar dalam perjuangan mengembalikan Dinar dan Dirham sebagai matawang Islam. Nama seperti Associate Professor Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, Pn Nik Mahani Mohamad, Profesor Umar Ibrahim Vadillo dan YB Datuk Paduka Haji Husam Musa adalah antara nama rujukan dalam perjuangan ini. Bukan senang untuk mendengar tiga tokoh ini dihimpunkan dalam satu seminar.
Saya mengkaji tentang Dinar dan Dirham sejak dua tahun lalu ketika terlibat sama dalam pembentangan tugasan subjek Intermediate Macroeconomics yang diberikan oleh Prof. Ruzita perihal cadangan atau solusi kepada kes Exchange Rate dari keratan akhbar yang dipilih. Cuma sahaja jika dahulu agak ‘taksub’ dalam perjuangan Dinar dan Dirham, kini saya merasakan perkara ini wajar dilihat secara objektif setelah mengkaji dan membaca dengan lebih mendalam. Dan ini bukan bermaksud saya menentang perjuangan yang dibawa dinarist (golongan yang memperjuangkan slogan kembali kepada matawang Dinar), malah 30% asset saya kini adalah dalam bentuk emas. Atas dasar itu saya menghadiri seminar ini untuk mendengar sendiri ucapan perintis perjuangan Dinar dan Dirham yakni Profesor Umar Ibrahim Vadillo.Slot Pertama
Sesi pertama menggabungkan dua tokoh yang tidak asing pada saya,memandangkan Prof. Kameel adalah pensyarah UIA dan saya juga mengikuti kesemua tulisan provokatif terhadap perbankan Islam oleh Pn Nik Mahani Mohamad dalam ruangan Millenia Muslim. Pembentangan Associate Professor Dr Ahamed Kameel Mydin lebih mendalam dan bersifat ilmiah, beliau menggunakan slide yang sama ketika pembentangan tajuk “Economic Crisis and the impact towards Muslim Countries” di UIA dua minggu sebelumnya. Slide pembentangan Pn Nik Mahani Mohamad memang seperti tulisan-tulisan beliau yang mana ianya penuh provokasi, akan tetapi pembentangan beliau sungguh sopan dan bersahaja.
Semasa sesi soal jawab, saya sempat mengajukan soalan kepada kedua-dua tokoh tersebut. Soalan saya kepada Prof Kameel adalah merujuk kepada persoalan yang diajukan kepada dinarist oleh Prof. Zubair Hasan dalam kertas kerja beliau “Ensuring Exchange Rates Stability: Is Returning To Gold (dinar) Is Possible?”. Kertas kerja ini mempersoalkan banyak isu dan fakta dalam buku Prof. Kameel, “The Theft of Nations” dan “The Islamic Gold Dinar”. Kertas kerja ini antara yang membuatkan saya berminat untuk melihat perjuangan Dinar dan Dirham ini dalam perspektif yang berbeza. Atas dasar itu saya cuba mengambil peluang ini untuk mengajukan persoalan bagi merungkai kemusykilan yang ada. Dalam banyak-banyak soalan saya hanya memilih untuk menyoal apakah emas atau dinar yang cuba dijadikan standard peringkat antarabangsa? Dan apakah dinar emas ini akan digunakan dalam bilateral agreement? Dan antara dua soalan yang saya ajukan Prof. Kameel hanya menjawab soalan pertama yang mana beliau menyatakan bahawa perbezaan emas dan dinar ialah yang mana dinar adalah kayu ukur yang digunakan sebagai mata wang manakala emas adalah medium yang digunakan. Saya berpuas
Adapun soalan yang saya ajukan kepada Pn Nik Mahani Mohamad adalah berdasarkan slide beliau yang membuatkan saya lebih musykil. Beliau menyatakan “Jangan salahkan ulama’- mereka juga TIDAK FAHAM!-Sekularisma” yang kemudiannya disusuli dengan hadith yang mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.
“Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, jelai dengan jelai, kurma dengan kurma, garam dengan garam, semisal dengan semisal, dalam jumlah yang sama dan tunai, tangan dengan tangan. Dan jika jenis-jenis ini berbeda, maka juallah sekehendak hati kalian, jika dilakukan serta diserahkan seketika” [Diriwayatkan oleh Muslim dari hadith Ubadah bin Ash-Shamit Radhiyallahu ‘anhu]
Apa yang kami pelajari sebagai 6 barangan ribawi ini disusuli dengan slogan “JENIS WANG DLM SYARAK HANYALAH 6 JENIS INI”. Walaupun pernah terbaca perkara sedemikian dalam tulisan-tulisan Profesor Umar Ibrahim Vadillo dan Syaikh Imran Hussain, tetapi ianya tidaklah se’provokatif’ sebegini. Maka saya bangun dan mempersoalkan apakah boleh untuk kita mengambil makna hadith ini secara zahir? Saya teringat ketika Dr. Ugi Suharto mula mengajar kami hadith ini berserta dengan pandangan para ulama’ berkenaan dengannya. Malah penjelasan yang lebih mendalam jika merujuk kepada tulisan Prof. Aslam yang bertajuk “Must Money Be Limited to Only Gold and Silver?: A Survey of Fiqhi Opinions and Some Implications”. Tulisan beliau yang komprehensif ini wajar dibaca oleh para pejuang Dinar dan Dirham kerana ia menghimpunkan pandangan para ulama’, para fuqaha’ atas perbezaan pandangan tentang apakah mata wang islam itu hanya terhad kepada Dinar dan Dirham.
Jawapan yang saya dapat daripada Pn Nik Mahani Mohamad agak mengecewakan apabila beliau hanya menyatakan beliau adalah produk kapitalis dan tidak mahir dalam bidang hadith. Maka saya musykil bagaimana beliau berani menggunakan hadith itu sebagai hujah, saya cuba bersangka baik bahawa barangkali beliau mengambil pandangan ulama’ silam dalam hal ini apabila beliau menyatakan beliau mengambil pandangan salah seorang ulama’. Prof. Aslam dalam kertas kerja tersebut menghimpunkan nama-nama para ulama’ yang menghadkan mata wang bersandarkan emas dan perak seperti Abu Hanifah, Abu Yusuf, Ibn Nafi’, al-Nadwi, Syaikh ‘Alish atau ulama’ Syafi’iyyah seperti Al-Nawawi,Al-Suyuti atau Al-Maqrizi. Jika tidakpun mungkin pandangan ulama’ kontemperer seperti Syaikh Ahmad al-Khatib, ,Syaikh Abd Rahman Al-Sa’di, dan Ibn Badran.
Adapun para ulama’ yang tidak menghadkan mata wang Islam hanya pada Dinar dan Dirham juga bukan calang-calang, antara tokohnya ialah Imam Shyabani, Al-Hattab, Al-Wansharisi, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Laith Ibn Sa’ad dan lain-lain. Manakala ulama’ kontemperor yang mengambil pandangan yang sama pula adalah Syaikh Yusof Qardhawi, Syaikh Muhammad Taqi’ Usmani, dan Abd Allah Sulayman Al-Mani. Apapun saya masih musykil dengan pernyataan ‘berani mati’ beliau dengan pernyataan “JENIS WANG DLM SYARAK HANYALAH 6 JENIS INI”. Hal ini adalah kerana ulama’ mazhab Zahiri yakni Ibn Hazm juga tidak mengambil pandangan zahir hadith tersebut bahawa 6 jenis barangan itu sahaja yang boleh dijadikan sebagai wang. Malah soalan yang tidak sempat saya persoalkan ialah apakah mata wang ini adalah satu perkara tauqifiyyah? Bukankah ianya adalah satu bentuk muamalah yang berlandaskan prinsip ibahah?
Walaubagaimanapun, jawapan ketiga-tiga penceramah lain lebih konsisten yang mana mereka bersepakat kerana apa sahaja komoditi yang menepati karekteristik mata wang boleh dijadikan wang. Hal ini disentuh oleh Professor Kameel sejurus selepas saya menyebut nama Prof. Aslam kerana Prof. Aslam adalah sahabat beliau dan barangkali beliau tahu kertas kerja yang saya maksudkan. Apa yang saya nampak daripada pernyataan mereka ini sangat bermakna, ternyata minda kita telah dijajah supaya tunduk kepada wang kertas atau lebih tepat wang fiat, walhal sistem ekonomi yang diguna pakai pada zaman dahulu lebih menjanjikan kestabilan ekonomi daripada kadar inflasi tanpa henti seperti yang dialami kini.
Slot Kedua
Sesi petang yang menggabungkan dua tokoh yakni Profesor Umar Ibrahim Vadillo dan YB Datuk Paduka Haji Husam Musa lebih hangat dan bermanfaat. Ucapan Profesor Umar Ibrahim Vadillo jelas menampakkan keyakinan beliau bahawa sistem ini akan berjaya. Beliau menyatakan sistem ini dengan slogan yang gah yakni “Towards political union of the Muslim nations.” Apa yang beliau perjuangkan adalah lebih berkisar perjuangan mengembalikan kebebasan, kebebasan untuk memilih apa jua bentuk medium of exchange. Beliau dengan lantang mengatakan ketidakyakinan beliau dalam sistem perbankan Islam sedia ada kerana Dinar emas adalah pengakhiran kepada perbankan atau lebih tepat perbankan Islam. Hal ini adalah kerana banklah yang memaksa kita menggunakan wang kertas yang mana nilainya turun hampir setiap saat. Saya melihat pandangan yang diutarakan oleh Profesor Umar Ibrahim Vadillo sungguh optimistik.
YB Datuk Paduka Haji Husam Musa sangat bersahaja dalam penyampaian beliau tetapi sungguh menyakinkan. Slide pembentangan beliau hanya bertujuan untuk membuktikan bahawa penggunaan emas sebagai bentuk pelaburan dan juga sistem rezab bagi Bank Negara mampu membawa keuntungan. Beliau menunjukkan bukti apresiasi harga emas sejak pelancaran Emas Dinar Kelantan (EDK):-
Hari pembukaan harga emas/gram @ September 2006 = RM 65.64
Harga emas / gram @ 18/2/2009 = RM 110.78Daripada harga di atas kita boleh lihat apresiasi sebanyak 68.75 %. Tahun 2007 menunjukkan peningkatan sebanyak 29.5 %, tahun 2008 menunjukkan peningkatan sebanyak 14.4 % dan setakat ini tahun 2009 peningkatan adalah sebanyak 11.07%. Maka hal yang sama boleh diaplikasi dalam contoh yang mana jika nilai rezab antarabangsa sekiranya disimpan dalam bentuk emas, Bank Negara mampu untuk mengalami peningkatan sebanyak RM188 billion hanya dengan menukar rezab antarabangsa pada tahun 2006 yang berjumlah RM291.4billion kepada emas.
Kesimpulan
Apa yang saya nampak daripada perjuangan Dinar dan Dirham ini ialah seperti mana yang diakui sendiri oleh Profesor Umar Ibrahim Vadillo bahawa ianya mestilah berperingkat-peringkat. Untuk bangun pada keesokkan harinya dengan harapan semua manusia menggunakan Dinar dan Dirham adalah suatu perkara yang mustahil, perjuangan berperingkat yang dimaksudkan ialah dengan menuntut semula perjanjian Bretton Woods yang dahulunya dicabuli oleh Amerika apabila mengambil keputusan untuk mengeluarkan wang kertas tanpa bersandarkan kepada emas. Jika wang kertas yang digunakan untuk berniaga dengan Negara Islam di Timur Tengah dapat dipaksa supaya bersandarkan emas maka tidaklah harta Negara Islam di Timur Tengah didagang dengan hanya berhasilkan kertas yang asalnya tidak mempunyai nilai tetapi dikosmetikkan supaya ‘dipercayai’ nilainya.
Kekaburan umat Islam atas wang kertas Amerika yang tidak bernilai ini adalah satu penipuan global apabila umat Islam ditipu hidup-hidup dengan membenarkan Amerika untuk mencetak wang mereka sewenang-wenangnya sekaligus membeli harta warisan umat islam dengan kertas kosong. Mereka mencetak berbillion-billion tanpa menyentuh sedikitpun simpanan emas mereka, malah mereka mencetak dan terus membeli emas untuk simpanan mereka menjadikan mereka penyimpan emas terbesar dunia sehingga 8,133.5 tan dan dengan peratus rezab sebanyak 77.3%. Seolah-olah kini hanya mereka yang sedang menipu umat Islam hidup-hidup sahaja yang sedar tentang kepentingan emas, kita umat Islam pula rela ditipu hidup-hidup untuk berdagang dengan mereka dengan wang kertas tanpa nilai.
Saya merasakan perjuangan kembali kepada Dinar dan Dirham ini adalah matlamat jangka masa panjang yang perlu difahami dengan jelas. Apa yang Profesor Umar Ibrahim Vadillo katakan dengan “Towards political union of the Muslim nations.” adalah satu bentuk Monetary Union walhal persidangan dan perbincangan dalam membentuk Islamic Common Market masih lagi berlansung dan tidak kesampaian. Prof. Mohamed Ariff merungkai cabaran-cabaran yang membantut penyatuan negara-negara Islam dalam kertas kerja beliau “Proliferation of Regional Groupings: Policy Options for the OIC” yang mana ianya sekaligus merungkai persoalan Tun Mahathir dalam ucapan beliau ketika Seminar on Gold Dinar pada tahun 2002 yang menyatakan tiada penyatuan di antara negara-negara Islam antara faktor perlaksaan “Kembali kepada Dinar Emas” ini gagal direalisasikan.
Maka usaha untuk merealisasikan Monetary Union di antara Negara-negara Islam adalah satu usaha yang memerlukan pengorbanan bukan sahaja dari para pemimpin Negara-negara Islam, kerana saya merasakan solusi praktikal yang Profesor Umar Ibrahim Vadillo sendiri simpulkan dalam buku beliau Fatwa on Banking adalah lebih releven, tidak lain tidak bukan ianya mesti bermula dengan diri kita sendiri.
Wallahu’allam.
23 Februari 2009
5.46 p.m – url asal http://ibnyusof.blogspot.com
saye setuju. tapi sekarang dinar di jadikan barang dagangan pulak. hari ni beli dinar. 2 bulan nanti jual pulak dinar tu.
lagi pun nilai dinar terlalu besar. mungkin boleh gune unutk beli kerete tanpa insterest. 1 kerete mungkin 10dinar.
[Reply]
emas kini Reply:
February 6th, 2010 at 12:24 am
ini kerana masih ramai peniaga yang belum menerima dinar sebagai bayaran..namun begitu langkah mempromosi dinar melalui kaedah ini salah satu alternatif untuk populorkan dinar.kadang-kadang orang yg terlibat dengan “pajak gadai islam pun tak tahu apa itu dinar”.So dengan kaedah ini mungkin dinar semakin populor dan tidak mungkin akan digunakan sebagai matawang kelak
p/s : itu pandangan peribadi saya ajer
[Reply]
tapi dinar mesti jadi matawang sepenuhnya. bukan lagi barang komoditi yg di jual beli. mesti ada kadar tetap tukar RM ke dinar dan bukan bersandar kepada harga pasaran emas. mungkin.
[Reply]