Pelaburan Emas Masih Berbaloi Kata Pengarah Urusan Pasaran Asia Majlis Emas Dunia
KUALA LUMPUR 15 Jun – Pelaburan melalui emas masih dianggap berbaloi kerana komoditi itu dianggap sebagai medium penyimpan nilai dan bukan memberi pulangan dalam jangka masa pendek walaupun harga emas telah merosot hampir 40 peratus sejak 2011.
Pengarah Urusan Pasaran Asia Majlis Emas Dunia, Albert Cheng berkata, kejatuhan harga komoditi itu hanyalah lumrah biasa pergerakan harga sesebuah barangan komoditi. Malah katanya, secara perbandingan harga emas hanya berlegar di bawah AS$1,000 (RM3,700) per auns sebelum 2011.
Namun berdasarkan trend penggunaan semasa katanya, harga emas berpotensi untuk kekal stabil dalam jangka masa panjang ekoran komoditi itu kini digunakan sebagai bahan-bahan utama dalam penghasilan komputer, telefon pintar serta pelbagai produk-produk elektronik dan mesin.
“Peningkatan kuasa beli penduduk India dan China juga akan meningkatkan permintaan emas dunia. Orang Cina akan membeli emas jika mereka berduit untuk dijadikan pelaburan atau sebagai simbol kekayaan.
“Ramai yang bertanya kepada saya adakah pelaburan emas masih berbaloi. Bagi saya pelaburan emas tetap berbaloi untuk jangka masa panjang dan bukan dijadikan sebagai aset pulangan untuk jangka masa singkat,” katanya pada Persidangan Prospek Harga Emas dan Logam Bernilai di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Derivatives Bhd. Chong Kim Seng.
Harga emas ketika ini didagangkan sekitar AS$1,181 (RM4,367) per auns, merosot berbanding harga kemuncaknya iaitu AS$1,900 (RM7,030) per auns pada 2011.
Jelas Cheng, lebih 50 peratus emas dunia ketika ini digunakan untuk penghasilan barangan kemas, 19 peratus untuk pelaburan, lapan peratus sebagai bahan penghasilan produk-produk elektronik dan selebihnya simpanan rizab oleh bank-bank pusat.
Dalam pada itu beliau berkata, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) sejak akhir-akhir ini mampu menjejaskan permintaan emas dunia kerana peningkatan nilai mata wang itu menjadikan harga emas mahal selain mendorong pelabur mencari medium pelaburan lain bagi mengambil kesempatan terhadap pengukuhan dolar.
– See more at: http://m.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/pelaburan-emas-masih-berbaloi-1.103514#sthash.v01ekGgO.dpuf