Sembilan Lagi Firma Dikenal Pasti

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mengenal pasti sembilan lagi syarikat, termasuk lima yang terbabit dalam pelaburan emas, menjalankan kegiatan tanpa mengikut peraturan kewangan.
Syarikat berkenaan ialah Azea Property Sdn Bhd, CGF Fine Metal Sdn Bhd, Eagle Aeronautics (M) Sdn Bhd, Global Peace Loving Family, Greenmillion Agrosolution Enterprise, Public Gold Sdn Bhd, Royal Gold Sdn Bhd, SGFM Trading Sdn Bhd dan Urustabil Sdn Bhd.

CGF Fine Metal, Future Trade Indojaya, Public Gold, Royal Gold, dan SGFM Trading terbabit dalam pelaburan emas, manakala Azea Property, Eagle Aeronautics, Global Peace Loving Family, Greenmillion Agrosolution, dan Urustabil aktiviti lain tanpa berlesen.

CGF Fine Metal, Future Trade Indojaya, Public Gold, Royal Gold, dan SGFM Trading terbabit dalam pelaburan emas, manakala Azea Property, Eagle Aeronautics, Global Peace Loving Family, Greenmillion Agrosolution, dan Urustabil aktiviti lain tanpa berlesen.

Syarikat berkenaan disenaraikan dalam laman web Bank Negara www.bnm.gov.my pada 27 September lalu. Ia menjadikan 87 syarikat atau individu disenaraikan sebagai entiti yang tidak mendapat kelulusan dan tidak sah menjalankan aktiviti pelaburan mengikut peraturan kewangan dalam bidang kuasa BNM.

Menurut kenyataan Bank Negara dalam laman web itu, ia sebagai panduan kepada orang ramai berikutan pelbagai maklumat dan pertanyaan yang diterima daripada orang awam dan dikemas kini dari semasa ke semasa untuk rujukan orang ramai.
Katanya, kebanyakan aktiviti ialah pelaburan emas, perniagaan mata wang asing atau pelaburan tidak berlesen. Mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989, syarikat terbabit perlu mendapat perakuan bertulis daripada Bank Negara sebelum menjalankan aktiviti itu di negara ini.

Bank Negara juga menegaskan tidak mengeluarkan sebarang lesen atau surat kebenaran perniagaan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti pemajakan, pemfaktoran, pembangunan kewangan atau pembangunan kredit.

“Bank Negara ingin mengingatkan orang ramai supaya melabur dengan pihak yang dilesenkan pihak berkuasa.

“Anda dinasihatkan berhati-hati serta meneliti kesan buruk sebelum menyertai mana-mana skim yang menjanjikan pulangan tinggi dalam jangka masa singkat,” katanya.

Bank Negara juga menjelaskan ramai pelabur menjadi mangsa akibat keliru dengan tawaran lumayan penganjur kerana ingin cepat kaya.

Mengambil contoh penipuan kewangan pelaburan emas, Bank Negara berkata, ada beberapa modus operandi yang sering digunakan bagi mengelirukan pelabur.

Antaranya meminta pelabur mengisi borang pelaburan dan menandatangani perjanjian dengan pengendali skim.

Pelabur akan membayar harga emas sama ada menerusi cek atau secara tunai dan diberikan pilihan untuk mengambil emas (bersama sijil pelaburan emas) pada bila-bila masa seperti ditetapkan pengendali skim atau membenarkan pengendali skim menyimpan produk emas.

Pelabur dijanjikan menerima pulangan dalam bentuk dividen atau hibah setiap bulan sepanjang tempoh pelaburan mengikut peratusan ditetapkan dan pengendali skim menjamin pembelian balik ketika tempoh akhir perjanjian pada harga belian asal.

Justeru, Bank Negara menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menggunakan surat perakuan yang dikatakan dikeluarkan oleh bank pusat itu untuk menarik pelaburan dalam pelbagai skim.

Untuk maklumat lanjut, rujuk laman web Bank Negara www.bnm.gov.my atau hubungi talian 1-300-88-5465 atau e-mel bnmtelelink@bnm.gov.my. – http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sembilanlagifirmadikenalpasti/Article/

2 Responses so far.

  1. […] Cerita sebelum ini yang dikatakan Public Gold adalah skim pelaburan emas adalah tidak benar sama sekali.Kisahnya ada di http://www.emaskini.com/sembilan-lagi-firma-dikenal-pasti/ […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *