Harga Minyak, Emas Naik Kesan Geopolitik di Mesir
February 1, 2011 by Sabri Ahmad
Filed under Cerita Emas
KETEGANGAN di Mesir yang bermula awal minggu lalu menyaksikan harga dua komoditi utama dunia iaitu minyak mentah dan emas, meningkat dengan ketara susulan tercetus kebimbangan pelabur terhadap kedudukan geopolitik negara itu.
Kontrak minyak mentah bermutu tinggi di pasaran komoditi New York, ‘Light Sweet’ bagi penghantaran Mac naik 74 sen kepada AS$90.09 setong ketika didagangkan pasaran hadapan elektronik Asia petang semalam.
Pada Jumaat lalu, ia melonjak 4.3 peratus kepada AS$89.34 setong.Peningkatan itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan di NYMEX sejak September 2009 sama ada dari segi peratusan mahupun nilai dolar Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu, emas pula melonjak mencecah AS$1,340.70 satu auns susulan populariti logam berharga itu di kalangan pelabur ketika berlakunya krisis ekonomi dan politik global.
Emas dianggap sebagai instrumen pelaburan yang selamat dalam melindung nilai pelaburan di tengah-tengah krisis politik di negara Asia Barat.Penganalisis Ekonomi Kanan ANZ bank di Wellington, Sharon Zollner yang dipetik Dow Jones, berkata pelabur semakin bimbang protes penunjuk perasaan di Mesir, yang kini dilaporkan semakin meruncing, berkemungkinan akan melarat ke beberapa negara Asia Barat lain, termasuk Arab Saudi.
“Kebimbangan utama ketika ini adalah kemungkinan protes penunjuk perasaan di Mesir melarat ke Arab Saudi dan jika ia menjadi kenyataan, segala urus niaga termasuk penghantaran minyak akan tergendala,” katanya pada agensi berita itu semalam.
Menurut Joint Oil Data Initiative, iaitu organisasi perangkaan negara pengeluar utama minyak mentah dunia, menyatakan Mesir, negara ke-21 pengeluar minyak terbesar dunia, mengeluarkan kira-kira 673,000 tong minyak sehari.
Namun, yang paling dirisaukan, Mesir adalah hab kepada rangkaian perhubungan pembekalan minyak utama dunia di mana letaknya Terusan Suez dan sebuah saluran paip sepanjang 200 batu yang dikenali sebagai saluran Sumed.
Terusan Suez berfungsi sebagai transit utama kepada semua aktiviti penghantaran minyak dan bahan api dunia yang menghubungkan antara Teluk Parsi ke hemisfera barat, manakala saluran Sumed berfungsi sebagai transit alternatif kepada Terusan Suez.
Perangkaan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS pula menyatakan, kira-kira 1.8 juta tong minyak mentah dan produk bertapis berasaskan minyak mentah lain, dihantar menerusi Terusan Suez pada 2009.
Saluran Sumed pula pada tempoh itu mengangkut sebanyak 1.1 juta tong minyak sehari. – Agensi
Related posts:
- Harga Emas Turun , Harga Minyak Naik , Harga Gula ? Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung emaskini.com.Sebelum saya meneruskan...
- Harga Petrol, Diesel, Gula Dan Gas Naik , Emas ! PUTRAJAYA: Kabinet hari ini memutuskan harga gula diselaras sebanyak 25...
- Harga Emas Cecah USD1500/Oz Tahun 2011 Mungkin masih ramai yang belum mengetahui akan kehebatan emas sebagai...
- Harga Komoditi Dijangka Melonjak Permintaan yang kian meningkat di pasaran-pasaran baru muncul, dolar Amerika...
- WIEF Digesa Sokong Dinar Emas KUALA LUMPUR 21 Mei - Anggota Forum Ekonomi Islam Dunia...
Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.













