Dana Ar-Rahnu Ditambah

KUANTAN 26 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan menyalurkan dana tambahan kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) bagi memperluaskan rangkaian pajak gadai berasaskan syariah, Ar-Rahnu ke seluruh negara.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, dana tersebut sebagai tambahan kepada RM200 juta yang disalurkan oleh kerajaan kepada Yapeim sebelum ini.

Menurut beliau, kerajaan bagaimanapun sedang meneliti jumlah tambahan dana yang akan disalurkan kepada yayasan berkenaan.

“Yapeim membuat permohonan kepada kerajaan untuk memperluaskan lagi rangkaian cawangan Ar-Rahnu di seluruh negara kerana sambutan kepada skim mikro kredit Islam ini sangat memberangsangkan sehingga dana sedia ada tidak dapat memenuhi segala permintaan.

“Saya memberi perakuan kepada Yapeim untuk tambah dan jumlah masih diteliti Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Mengukuh Wadah Memperkasa Ummah anjuran Yapeim di sini.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Yapeim, Abdul Malek Awang Kechil.

Penyertaan 40 ulama ke dalam UMNO tidak akan menjadikan parti itu sebagai parti yang ekstrem terhadap perjuangan Islam.

Sebaliknya tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kemasukan golongan tersebut dalam UMNO membuktikan dasar perjuangan parti itu dalam menegakkan Islam di negara ini diiktiraf oleh golongan cendekiawan agama.

Menurut beliau, penyertaan golongan itu juga sekali gus dapat mempertingkatkan lagi perjuangan UMNO bagi memartabatkan Islam di negara ini.

“Kita tidak mahu UMNO dilihat sebagai parti ekstrem. Islam sebenarnya bukan agama yang ekstrem.

“Jadi kita akan memperjuangkan Islam yang diterima oleh semua pihak dan umat yang terbaik adalah umat yang sederhana mengikut panduan Islam,” katanya.- Utusan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *