Hakikatnya Nilai Matawang Jatuh

SHAH ALAM – Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara berterusan tanpa kawalan, akan memberi kesan kepada nilai mata wang negara.

Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, nilai RM1 pembelian barang ketika ini dijangka turun kepada 80 atau 90 sen pada tahun hadapan dan 2015, berikutan kenaikan harga secara bertindan.

Beliau berkata, kejatuhan nilai wang itu juga akan menyebabkan kuasa beli pengguna semakin berkurangan.

“Jika dilihat kenaikan tarif elektrik dan tol serta pengurangan subsidi gula, ia memberi kesan kepada pengguna dengan kenaikan harga barang dan inflasi juga dijangka meningkat dan ini memerlukan pemantauan berkala daripada pihak kerajaan.

“Jadi tidak ramai pengguna akan membeli (barang dan perkhidmatan) mungkin sebab mahal,” katanya ketika ditanya berhubung kuasa beli pengguna dalam tempoh dua tahun akan datang.

Mohamad Fazli berkata, kesan kenaikan harga sesetengah barang dan perkhidmatan bermula bulan hadapan, secara tidak langsung akan menyebabkan berlaku fenomena gelembung hartanah, iaitu situasi di mana masyarakat tidak berkemampuan membeli hartanah kerana bebanan hutang isi rumah tinggi.

“Nilai hartanah ketika ini sudah tinggi dan tidak ramai mampu memiliki kediaman sendiri. Jadi, orang akan fokus kepada barang keperluan asas, iaitu makanan seperti beras, gula dan tepung,” katanya.

Bagi mengatasi kesan kenaikan harga, Mohamad Fazli menyarankan masyarakat berhemah ketika berbelanja seperti menyediakan rancangan perbelanjaan, mengutamakan pembelian barang keperluan dan membuat perbandingan harga sebelum membeli barang.

Menurutnya, pengguna perlu menjadi masyarakat yang bermaklumat dan bijak dalam membuat keputusan berkaitan penggunaan dan perbelanjaan mereka.

“Program Rasionalisasi Subsidi (SRP) ini ada pro dan kontra kepada kerajaan dan masyarakat. Kerajaan pasti ada alasan sendiri jalankan program SRP disebabkan faktor kenaikan harga pasaran dunia dan untuk tujuan pembangunan.

“Masyarakat pula rasa sebaliknya, iaitu terbeban dengan kenaikan harga. Yang pasti, kenaikan akan berlaku dan kita perlu hadapinya. Kita sendiri yang mencorakkan perbelanjaan kita dan kena berbelanja di bawah lingkungan pendapatan,” katanya.

Beliau turut menyarankan supaya kerajaan mengkaji secara menyeluruh kesan kenaikan harga ke atas masyarakat di bandar dan luar bandar.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/nilai-mata-wang-jatuh-1.232290

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *