KGT Didakwa Diselubungi Skandal.Benar atau Tidak

KUALA LUMPUR 17 Jun – Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. (KGT) iaitu sebuah syarikat pengeluar mata wang dinar dan dirham milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) didakwa berhadapan dengan kemelut salah laku terutamanya melibatkan salah seorang pegawai kanan syarikat tersebut.

Berdasarkan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang pelabur Jepun, Takao Kono pada 28 Mei lalu, beliau mendakwa menjadi mangsa penipuan pegawai kanan berkenaan yang dianggarkan melibatkan wang berjumlah AS$1 juta (RM3.19 juta).

Difahamkan pelabur Jepun itu sebelum ini dikatakan tertarik dengan perniagaan program syiling dinar dan dirham yang diperkenalkan oleh lelaki itu membabitkan KGT.

Malah, pegawai terbabit dikatakan menggunakan nama dua sultan di negara ini dan juga Kesultanan Sulu, selain nama kerajaan Zimbabwe bagi mempengaruhi pelabur Jepun tersebut.

Pelabur Jepun itu dikatakan telah menyediakan wang berjumlah AS$1 juta (RM3.19 juta) dalam masa satu bulan dan kemudian membeli emas serta perak untuk program perniagaan dinar dan dirham.

Bagaimanapun, Kono kemudian ingin menarik diri daripada perniagaan tersebut selepas hilang keyakinan terhadap pegawai kanan itu, namun emas dan perak yang dibelinya dikatakan telah dihantar ke Kazakhstan.

Bukan itu sahaja, terdapat satu lagi laporan polis yang telah dibuat oleh seorang individu warga Perancis bernama Mohamed Esfih pada 1 Jun lalu terhadap pegawai yang sama ekoran aktiviti keagamaan yang begitu meragukan dilakukan oleh lelaki itu di sebuah kondominium hampir setiap pagi Ahad.

Menurut Mohamed, sepanjang beliau menyertai kumpulan itu kira-kira dua bulan lalu, didapati lelaki yang digelar sebagai “Sheikh” tersebut mendakwa dirinya dianugerahkan kuasa yang luar biasa.

Sementara itu, bekas Pengarah Eksekutif KGT, Nik Mahani Mohamad juga telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 31 Januari lalu berhubung salah laku dikatakan telah dibuat oleh pegawai kanan tersebut ketika memegang satu jawatan penting KGT.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Azidi Syed Abdul Aziz dalam blognya, http://kickdefella.net meminta rakyat Kelantan bertanya kepada Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa untuk memberi penjelasan berhubung kemelut yang sedang menyelubungi KGT.

Katanya, rakyat Kelantan perlu memastikan bahawa Husam tidak melepaskan tanggungjawab terhadap apa yang telah dan masih berlaku seperti mana beliau mengelak di dalam isu Jihad Ternak Sdn. Bhd.

“Rakyat Kelantan perlu tahu segala-galanya dan Husam digesa bersikap telus di dalam soal ini. Sebagai permulaan, Husam diharap dapat menjelaskan beberapa persoalan demi mencari keredaan Allah SWT dan berjuang membersihkan diri dan ummah daripada rejim kewangan yang sedia ada kerana kita tidak boleh membiarkan pihak-pihak tertentu ‘menjual’ mata wang syariah ini untuk matlamat dan agenda peribadi atau politik masing-masing,” katanya dalam blog itu.

Syed Azidi yang pernah berkhidmat di PMBK sebagai Pegawai Perhubungan Awam meminta Husam menjelaskan hubungan sebenar beliau dengan pegawai kanan terlibat sedangkan beliau sedar terdapat tiga laporan polis dibuat terhadap lelaki berkenaan selain mendedahkan siapa yang membuat keputusan melantik pegawai tersebut memegang satu jawatan penting di KGT.

Husam juga diminta menjawab persoalan sekiranya ada perjanjian kewangan di antara KGT dan pegawai kanan itu atau perjanjian tidak rasmi dari aspek kewangan di antara Husam sendiri dengan pegawai tersebut.

“Mengapa setelah dilucutkan daripada jawatan penting itu, lelaki yang sama dilantik pula memegang satu lagi jawatan penting syarikat tersebut, berapa pula jumlah wang yang sudah dikeluarkan daripada KGT di atas arahan atau permintaan pegawai kanan itu?

“Husam juga harus menjelaskan mengapa kebenaran kelulusan cek daripada RM50,000 dikurangkan kepada RM10,000 sewaktu pegawai terbabit dan seorang lagi bekas pegawai kanan berkhidmat di situ seolah-olah pegawai kanan itu menerima habuan lain berbentuk komisen dalam aktiviti dinar emas Kelantan selain daripada imbuhan berbentuk gaji, elaun dan tuntutan perbelanjaan yang dibayar oleh KGT?” soal beliau.

Syed Azidi yang pernah menjadi ‘orang kanan’ Husam juga mahu beliau sedar nama beberapa raja-raja Melayu telah diguna dan dikaitkan oleh sindiket tertentu di dalam aktiviti dinar emas untuk mendapat sumber kewangan daripada penderma-penderma dalam dan luar negara. – Utusan Online

Benar atau tidak , belum dapat saya pastikan . Diharapkan berita ini tidak sama sekali benar kerana ia boleh memburukkan matawang orang Islam itu sendiri iaitu dinar emas.