Kisah Graduan Muda Membeli Kereta Pertama
Kisah Graduan Muda Ini Akan Membuatkan Anda Berfikir 13 Kali Sebelum Membeli Kereta Pertama…
Meran (bukan nama sebenar) baru sahaja mendapat gajinya yang pertama selepas bekerja sebagai pegawai kerajaan di sebuah kementerian, yang beribu pejabat di Putrajaya, sebaik sahaja grad dari sebuah universiti tempatan.
Dia melihat wang gaji di slipnya;
“Wah, RM 1779.00”
Jumlah tersebut setelah ditolak beberapa potongan wajib, daripada jumlah asal RM2200++
Dia mengira-ngira bajet untuk membeli kereta. Memandangkan dia masih bujang, kos perbelanjaan hidupnya hanyalah sekitar RM 500 – 600 sahaja sebulan.
Jika ditolak dengan wang diberikan kepada ibu ayahnya di kampung serta potongan hutang pelajaran, menjadikan jumlahnya RM 700 – 800.
“Hmmm… Ada lebih kurang RM 1,000 lagi baki gaji aku”
Meran membuat perkiraan ‘bijak’,
“Bajet aku untuk kereta RM 500 sudah cukup. Ada lagi RM 500 lagi untuk simpanan”.
Petang itu selepas pulang daripada kerja, dia meninjau-ninjau sebuah bilik pameran kereta nasional berdekatan dengan tempat kerjanya.
Dia disapa oleh seorang jurujual;
“Abang, sedang cari kereta?”
Meran mengangguk, tersasa tua pula apabila disapa dengan panggilan “Abang” oleh jurujual yang dikira sebaya dengan ayahnya itu.
Meran melangkah keluar dari kedai tersebut, tidak selesa dengan jurujual tadi lantas melangkah ke deretan kedai lain yang terletaknya sebuah lagi bilik pameran kereta import.
Di sini, sekali lagi dia disapa oleh seorang wanita,
“Encik ingin kereta yang bagaimana?”
Meran dengan senang hati memberitahu bajet untuk membeli keretanya RM500.00.
“Jika begitu, saya cadangkan kereta ini”
Jurujual wanita itu dengan ramah, menunjukkan sebuah kereta di dalam bilik pameran tersebut sambil menunjukkan satu jadual pembiayaan pembelian kereta tersebut.
“Encik, kebetulan kereta ini sedang dalam promosi. Dengan ansuran bulanan sebanyak RM 595, Encil sudah dapat membawa kereta ini”.
Lalu dipelawa Meran untuk mencuba-pandu kereta tersebut. Meran dengan senang hati mencuba kereta tersebut, tambahan pula kereta tersebut memang sesuai dengan bajet perkiraanya tadi, RM 500 sebulan.
“Ah, RM 500 dengan RM 595, tidak terlalu banyak bezanya. Lagipun aku masih ada baki lagi”.
Selepas berbincang, Meran bersetuju utuk membeli kereta tersebut, cuma masalahnya ialah dia perlu menyediakan deposit 10% daripada nilai kereta tadi. Lalu, jurujual yang ramah tadi memberi cadangan,
“Memandangkan Meran merupakan seorang kakitangan kerajaan, Meran boleh mendapat pembiayaan tanpa sebarang wang pendahuluan, cuma ansuran tadi meningkat sedikit kepada RM 662”.
Meran berfikir sejenak,
“Baki gaji aku ada RM 1000, tolak dengan RM 662, masih ada lagi RM 300 – RM 400”.
Selepas berkira-kira, Meran bersetuju. Seminggu selepas itu, dengan pembiayaan sebuah bank Islam, kereta tersebut menjadi milik Meran.
Meran berbangga dengan kereta yang dimilikinya.
“Barulah berbaloi kau belajar tinggi-tinggi selama ini”.
Beberapa bulan selepas itu, Meran baru perasan, bejetnya untuk membeli kereta tidak dikira dengan kos-kos tidak lansung seperti petrol, tol, parkir, dan penyelanggaraan.
Itu tidak masuk lagi apabila dia disaman apabila tersilap parking ketika membeli belah di Kuala Lumpur minggu lalu.
Juga belum termasuk, bonet belakangnya yang belum dibaiki akibat tercalar kerana bergeser dengan pagar rumah sewanya.
Bulan hadapan, dia sudah berjanji untuk pulang ke kampung bersama-sama kereta barunya.
Sudah dimaklumkan kepada seluruh ahli keluarganya di kampung dia akan pulang dengan kereta baru.
Ibu, ayah serta adik-adiknya sudah tidak sabar lagi untuk menaiki kereta barunya itu.
Dia berkira-kira, bajet makan minumnya bulan ini terpaksa dicatu demi untuk memastikan dia mempunyai bajet yang mencukupi untuk pulang ke kampung halamannya di Pantai Timur tanah air.
“Petrol RM 100, tol RM 40, jumlah RM 140. Ini baru satu hala, kalau pergi balik RM 140 X 2, jumlahnya RM 280! Aduuuuh…… Ini belum masuk belanja perjalanan membawa keluarga berjalan-jalan nanti. Kalau kerajaan naikkan lagi harga petrol, lagi bala! Aduuuuh….”.
Meran nekad, dari sekarang hingga ke bulan hadapan dia perlu mengikat perut, memasak sendiri demi memastikan dia dapat pulang dan bergembira di kampung.
Sebelum-sebelum ini, ketika belajar di universiti, dua tiga bulan sekali dia akan pulang ke kampung dan menggembirakan ahli keluarganya membawa mereka berjalan-jalan dengan kereta ayahnya.
Kos pulang ke kampung hanyalah RM 80 pergi balik menggunakan bas ekspres.
Setiap kali pulang ke kampung, walaupun dia masih belum ada gaji ketika belajar dahulu, dia akan bergembira.
Tetapi kali ini, walaupun sudah bekerja dan mempunyai gaji, dia tidak segembira dahulu untuk pulang ke kampung.
(Cerita adaptasi dari sebuah kisah benar, dan gambar sekadar hiasan)
Afyan Mat Rawi, IFP
www.afyan.com
Nak beli kena ikut baju ukuran sendiri. Lagi banyak berhutang dan lagi banyak komitmen. Susah hendak mendapat pinjaman jika sudah banyak komitmen terutama nak beli rumah.
[Reply]