Merialisasikan Dinar Emas

Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ketika merasmikan Persidangan Pasaran Modal Islam serta melancarkan Minggu Pasaran Modal Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur, semalam.

EKONOMI Malaysia digerakkan oleh sektor swasta dan kekal begitu sejak sekian lama. Kerajaan melihat peranannya sebagai fasilitator, menyediakan dasar, struktur dan kerangka yang diperlukan bagi memastikan sektor swasta boleh terus memainkan peranannya sebagai enjin utama pertumbuhan. Formula ini terbukti berjaya bagi kami baik ketika senang mahupun susah. Ini kerana kerajaan dan sektor swasta sebagai pemegang amanah dalam kerjasama ekonomi mempunyai kepentingan yang saling berkait rapat.

Bentuk dan takat peranan kerajaan sebagai fasilitator pertumbuhan ekonomi akan berubah dari semasa ke semasa – zaman yang sukar menuntut peranan lebih proaktif dalam menggerakkan modal dan menjana kegiatan ekonomi manakala masa senang membenarkan kita untuk mewujudkan satu suasana yang sihat untuk pelaburan serta kegiatan ekonomi, memastikan keadaan teratur dan mengutip keuntungan. Kerajaan melihat dirinya sebagai pemegang saham dalam semua perniagaan kerana 28 peratus daripada keuntungan itu adalah milik kerajaan.

Oleh itu, kami tidak rasa bersalah dengan polisi yang mesra perniagaan itu. Kerajaan komited untuk memastikan pasaran bagi modal, pelincir yang melancarkan pertumbuhan ekonomi sektor swasta, terus dibangunkan dan diperkukuhkan agar ia dapat terus menggerakkan modal dengan berkesan bagi memenuhi keperluan kewangan sektor swasta yang bertambah besar.

Biar saya jelaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, malah barangkali model negara Islam. Ekonomi kami telah tumbuh kukuh dari tahun ke tahun, sejak merdeka hampir 45 tahun yang lalu. Daripada penggantungan ke atas timah dan getah, kami telah mempelbagaikan asas ekonomi dan menjadi negara perdagangan ke-18 terbesar di dunia.

Pasaran modal dan kewangan kami juga telah tumbuh seiring dengan pertumbuhan ekonomi. Pasaran modal Malaysia yang terjejas pada tahun 1998 hari ini secara relatifnya kembali munasabah dan pada paras yang dapat bertahan. Dengan pertumbuhan 2.4 peratus dalam masa setahun, Indeks Komposit KL menjadi tumpuan berbanding kejatuhan 6 peratus untuk Dow Jones, 23.5 peratus bagi Nikkei dan 24.3 peratus di Han Seng. Tidak seperti jangkaan ramai, pertumbuhan KDNK bagi tahun 2001 kekal dalam wilayah positif.

Pasaran modal Islam kami telah bertambah kukuh, menjadi pelengkap dan menerima faedah daripada infrastruktur dalam pasaran modal konvensional, dan menyediakan komponen penting ketiga kepada perbankan Islam dan takaful.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran modal Islam telah menyumbang besar kepada perluasan dan pengukuhan sektor kewangan Islam. Sejak hampir sedekad lalu apabila Sekuriti Hutang Swasta Islam yang pertama diterbitkan, pasaran modal Islam telah membangunkan produk ekuiti, sekuriti hutang dan modal terurus yang luas.

Institusi dan struktur sokongan juga telah dibangunkan. Kami mempunyai sejumlah pakar institusi kewangan Islam yang menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam. Kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia memastikan melalui penyeliaan dan pemantauan bahawa aktiviti yang dijalankan tidak bertentangan dengan peruntukan syariah.

Kami telah berjaya mencontohi kejayaan awal perbankan Islam dan takaful dalam bidang baru pasaran modal Islam. Hari ini, dianggarkan tiga suku saham di BSKL menepati syariah dengan Indeks Syariah BSKL menjadi petunjuk aras prestasi sekuriti yang diluluskan oleh syariah.

Peratusan sekuriti hutang Islam juga telah meningkat dengan mantap berbanding dengan jumlah sekuriti hutang dari segi nilai dana yang dikumpulkan. Banyak syarikat besar tempatan sedang mencari pembiayaan melalui penerbitan sijil-sijil Islam jangka panjang. Pembiayaan Islam juga telah mula menyediakan wang bagi industri modal usaha, menukarkan idea yang inovatif menjadi perniagaan.

Walaupun unit amanah Islam sekarang ini hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan industri unit amanah, saya yakin sektor ini akan berkembang seiring dengan pertumbuhan keseluruhan industri unit amanah. Dengan kemakmuran masyarakat dan kejayaan relatif kerajaan dalam tindakan affirmative, ditambah dengan purata simpanan hampir 33 peratus, kami menjangkakan industri unit amanah termasuk industri unit amanah Islam akan menyaksikan pertumbuhan yang cergas pada tahun-tahun akan datang.

Malah kita mengharapkan pasaran modal Islam untuk menggerakkan lebih dana institusi dan tempatan untuk membiayai kegiatan ekonomi. Apatah lagi memandangkan besarnya dana Islam yang digerakkan oleh sektor perbankan Islam, industri takaful dan pelbagai skim simpanan Islam seperti Tabung Haji. Ketiga-tiga ini telah berkembang pesat dalam masa lima tahun kebelakangan dan melihat kepada jumlah aset dan simpanan dalam semua sektor itu, potensi dana yang ada untuk pelaburan dalam pasaran modal Islam adalah cukup besar.

Dalam sektor perbankan Islam, simpanan telah berkembang daripada RM4.9 bilion pada tahun 1995 kepada RM35.9 bilion pada tahun 1999. Saya suka menambah di sini bahawa walaupun dolar Amerika bernilai 3.8 ringgit, dari segi kuasa beli Ringgit Malaysia di Malaysia sama dengan satu dolar Amerika di Amerika.

Walaupun jumlah aset dalam sektor perbankan Islam kekal hanya 6.9 peratus daripada keseluruhan aset perbankan pada tahun 2000, sektor perbankan Islam diramal akan memperoleh sekurang-kurangnya 20 peratus daripada pegangan pasaran perbankan menjelang tahun 2010.

Aset takaful secara relatifnya mempunyai peratusan yang rendah daripada keseluruhan aset dana insurans tetapi mempunyai potensi yang signifikan untuk menembusi pasaran, memandangkan pemilikan insurans nyawa yang rendah terutamanya di kalangan masyarakat Islam.

Dalam pasaran pesisir kita telah menubuhkan Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa bagi menyediakan satu platform untuk perbankan dan kegiatan mengumpul dana yang dikuasai oleh mata wang asing. Lembaga Perkhidmatan Pembiayaan Pesisir Labuan (LOFSA) telah mengenal pasti perkhidmatan dan produk kewangan Islam sebagai bidang yang berpotensi.

Banyak yang telah kami pelajari daripada krisis mata wang Asia. Kami belajar tentang kerakusan pedagang mata wang; kami belajar tentang aliran portfolio yang berubah-ubah; kami belajar tentang `kredibiliti dan profesionalisme’ mereka yang kononnya penganalisis dan pakar ekonomi – mendukung satu ekonomi hari ini dan meruntuhkannya pada hari yang lain, melandaskan komentar mereka pada laporan media yang menimbulkan perbalahan, selain hampir tidak pernah melawat atau mengkaji dengan mendalam keadaan sebenar.

Apa yang lebih penting, kami belajar tentang kesengsaraan yang akan dihadapi oleh ekonomi negara membangun kesan globalisasi dan liberalisasi yang terlalu bebas. Kami belajar tentang pentingnya melengkapkan diri sendiri, institusi dan syarikat malah ekonomi kami dengan pengetahuan dan skil serta kekuatan intrinsik bagi menghadapi arus ganas globalisasi. Kami belajar bahawa bagi ekonomi yang membangun, kedaulatan politik tanpa kedaulatan ekonomi tidak akan menjamin kemerdekaan negara kami. Orang yang memikirkan tentang globalisasi tidak melakukannya suka-suka. Mereka ada dan masih mempunyai kepentingan kebendaan sendiri. Hakikat inilah yang sering kami ingat selalu.

Dalam hal ini, kami di Malaysia bersungguh-sungguh mahu memastikan bahawa kami menjadikan pengalaman yang dipelajari daripada manipulasi mata wang itu digunakan demi kebaikan.

Di lapangan antarabangsa, Malaysia bersama negara ekonomi membangun yang lain harus terus menuntut pengagihan hasil globalisasi yang lebih adil dan memantau amalan ekonomi yang menindas yang dijalankan atas nama globalisasi, pasaran bebas dan aliran portfolio. Taktik tekanan, pendekatan `bilik hijau’ yang digunakan pada mesyuarat WTO mesti dihentikan.

Di peringkat dalam negeri, kami telah memutuskan untuk mengukuhkan diri kami, institusi, pasaran, perantara dan pelabur kami supaya kami lebih bersedia bagi menghadapi naik turun putaran ekonomi.

Apabila kami melaksanakan semua langkah ini, adalah penting bagi kami untuk memastikan pengaliran dana yang cukup dan cekap di dalam dan luar negara bagi menyokong kegiatan ekonomi berintensifkan modal. Adalah penting bagi pasaran modal untuk menyediakan dana yang cukup bagi menjana pertumbuhan dan memastikan kami tidak terlalu bergantung kepada dana asing walaupun kami mengalu-alukan modal asing jangka panjang dengan tangan yang terbuka.

FDI bukan hanya tentang membawa masuk modal. Lazimnya modal itu dipinjam di dalam negara dan digunakan untuk membayar peralatan yang diimport mengakibatkan pengaliran keluar modal dan bukannya pengaliran masuk.

Sekiranya pinjaman tempatan tidak dibenarkan maka pelaburan mungkin tidak dapat dibuat. Pandangan tentang pengaliran masuk modal kerana FDI ini perlu dijelaskan. Kita harus memastikan pasaran modal terutamanya seluruh sistem kewangan kita menjadi lebih daya tahan dan kerangkanya lebih tangkas supaya kita boleh lebih mudah menyerap kejutan masa depan yang bertolak daripada pasaran kewangan yang belum dikawal.

Atas alasan inilah lebih setahun yang lalu kerajaan meluluskan Pelan Induk Pasaran Modal dan Pelan Induk Sektor Kewangan yang dimulakan dan disusun masing-masing oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia.

Pelan Induk Pasaran Modal merupakan satu pelan menyeluruh 10 tahun yang merangka kedudukan strategik dan hala masa depan pasaran modal Malaysia untuk 10 tahun akan datang. Ia mahu memastikan bahawa sektor awam sebagai enjin pertumbuhan ekonomi akan terus mempunyai keperluan pembiayaan yang diperlukan – dengan institusi pasaran yang kukuh, berdaya tahan dan berdaya saing; dengan perantara yang mempunyai tahap profesionalisme dan kemahiran teknikal yang tinggi; satu kerangka pengawalan yang teguh tetapi membantu dan, paling penting sejumlah produk yang mencukupi untuk menghadapi profil ganjaran berisiko penerbitnya dan pelabur yang semakin canggih dan kaya-raya.

Dengan menghormati pasaran modal Islam, Pelan Induk Pasaran Modal telah menerimanya sebagai satu kunci utama penubuhan sebuah pusat pasaran modal Islam antarabangsa Malaysia. Dalam memenuhi matlamat ini, empat strategi utama telah dikenal pasti iaitu: membantu pembangunan sejumlah besar produk yang berdaya saing dan perkhidmatan yang berkaitan; memperkenalkan satu pasaran yang berdaya saing bagi mobilisasi dana Islam yang efektif; memastikan perakaunan, percukaian dan kerangka pengawalan yang wajar dan komprehensif; meningkatkan pengiktirafan nilai pasaran modal Islam Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pada tahap awal pembangunan pasaran modal Islam, produk-produk yang ditawarkan dalam pasaran modal konvensional dinilai dan sekiranya sesuai diterima pakai bagi memastikan keselarasan dengan syariah.

Sungguhpun pendekatan mencontohi dan adaptasi telah berkesan dalam memulakan pasaran modal Islam dan bagi membolehkan ia melonjak ke sistem kewangan yang lebih luas, jelas bahawa pendekatan itu saja tidak mencukupi bagi kita untuk menggerakkan dana Islam dengan cekap serta menyediakan pilihan instrumen yang sewajarnya untuk pelabur dan penerbit yang mencari instrumen yang menepati syariah. Jika kita hanya mengehadkan usaha pembangunan produk setakat menilai dan menerima pakai produk pasaran konvensional, pasaran modal Islam terpaksa selamanya mengikut perkembangan sistem kewangan konvensional. Kita juga perlu terus bergantung kepada kepakaran dalam pasaran konvensional untuk memajukan pasaran modal Islam.

Kegagalan memenuhi permintaan ke atas instrumen yang menepati syariah mungkin akan menyebabkan orang Islam kembali kepada atau bergantung sepenuhnya terhadap produk konvensional yang ada elemen riba dan gharar. Malah, kita perlu melihat membangunkan pilihan produk kewangan Islam yang mencukupi sebagai satu fardu kifayah kerana kita mempunyai intelek, kekuatan dan kemahiran yang boleh digunakan untuk kepentingan umat Islam.

Di Malaysia, usaha untuk mempelbagaikan produk kewangan Islam telah agak berjaya. Tidak dapat dinafikan lagi ini adalah hasil daripada usaha gigih cendekiawan, pengamal dan ahli akademik Islam dan disokong serta dibantu oleh kerajaan dan agensi kawalan seperti SC, BSKL, BNM dan LOFSA.

Saya secara khusus gembira dengan penglibatan berterusan dan aktif ulama bagi memastikan pematuhan dengan prinsip dan standard syariah. Penglibatan dan sumbangan para ulama ini cukup kritikal bagi kejayaan berterusan dan pembangunan masa depan pasaran modal Islam.

Memang ada perbezaan pendapat dan pandangan di kalangan ulama tentang pentafsiran syariah. Bagaimanapun ini tidak harus dijadikan alasan untuk melumpuhkannya atau untuk tidak berbuat apa-apa. Sebaliknya, ia harus dianggap sebagai cabaran dan peluang – satu cabaran kerana perbezaan pandangan akan menghasilkan satu analisis dan penilaian yang lebih mendalam, manakala satu peluang kerana ia membolehkan amalan ijtihad yang sihat di kalangan para ulama dan keanjalan untuk menguji bidang baru.

Untuk terus maju, kita perlu melihat kemungkinan untuk maju dengan mempertembungkan tafsiran syariah. Kita perlu memikirkan dengan semasak-masaknya tentang tafsiran ajaran agama Islam dan bagaimana ia ada kaitan dengan hal ehwal kewangan hari ini dan pada masa depan, serta memenuhi kepentingan umum dan masalah bersama ummah.

Untuk usaha itu, al-Quran dan sunah tentunya akan menjadi panduan utama kita dengan didukung oleh penggunaan kias dan ijmak melalui proses ijtihad. Islam adalah agama yang paling lengkap kerana ia merangkumi segala aspek kehidupan pada setiap masa. Dari segi perdagangan dan kewangan, ada banyak panduan dalam al-Quran dan hadis. Percubaan mewujudkan semula keadaan yang serupa seperti pada zaman Rasulullah bermakna kita mengaku bahawa Islam hanya relevan kepada masyarakat zaman itu. Ini samalah dengan merendahkan Islam sebagai agama yang hanya sesuai untuk abad pertama Hijrah atau kurun ke-7 Masihi. Mereka yang mahu kita kembali ke zaman itu sesungguhnya menghina kesejagatan dan keabadian Islam.

Sama ada suka atau tidak, perkembangan pesat dalam ICT akan mempunyai kesan besar terhadap semua aspek kehidupan kita – cara hidup, cara berhubung, cara berdagang malah cara bagaimana pasaran beroperasi. Jika kita tidak mahu ketinggalan dalam persaingan zaman maklumat ini, kita tidak boleh mengasing atau menjauhkan diri daripada revolusi maklumat dan teknologi yang menggerakkannya. Kita harus mengikut arus masuk ke dalam zaman maklumat tanpa tenggelam di tengah jalan. Kita tidak harus sekali lagi membenarkan diri kita terlepas peluang dan perlu sentiasa mendekatkan diri dengan perkembangan di negara maju seperti yang telah kita lakukan semasa revolusi industri.

Islam bukan dan tidak pernah membawa makna konservatif. Islam tidak menyeru supaya teknologi dan kemodenan ditolak. Sungguhpun pasaran modal Islam ialah tentang mematuhi prinsip syariah, kita perlu mengambil peluang atas perkembangan dalam ICT bagi mendapatkan kecekapan, keberkesanan dan persaingan pasaran dan produk.

Dalam ekonomi sejagat yang baru, ICT ada potensi untuk meningkatkan produktiviti, menjana inovasi dalam pertubuhan ekonomi dan keusahawanan, dan mewujud serta menyebarkan kekayaan dan pengetahuan. Pasaran modal Islam akan menanggung kerugian yang besar sekiranya para profesional dan pembuat dasar yang terlibat tidak menggunakan ICT demi kepentingan kita.

Dalam pasaran modal terutamanya, kita perlu meluaskan aktiviti perdagangan dalam talian bagi mengejar ekonomi baru dan meningkatkan pengagihan saluran dan jumlah urusan. Dalam hal ini, saya suka membuat pemerhatian bahawa ada usaha-usaha untuk menubuhkan portal kewangan Islam yang menyediakan satu spektrum perkhidmatan talian terus yang luas termasuk oleh beberapa syarikat di Malaysia.

Bagi membolehkan kemakmuran ekonomi dikongsi dengan luas, ia harus diasaskan daripada kemajuan dalam bidang kajian dan inovasi serta pembinaan kemampuan manusia dan institusi.

Oleh itu, kita perlu membangunkan strategi yang jelas dan menyeluruh yang akan membantu inovasi dan keusahawan, menggalakkan pengagihan peluang ekonomi baru, membantu menyebarkan teknologi komunikasi dan maklumat serta program yang akan menggalakkan pembelajaran, pendidikan dan latihan seumur hidup sumber manusia kita. Di serata negara membangun hari ini, termasuk sejumlah majoriti negara Islam, masih ada kekurangan bakat dan kemahiran teknikal, profesional dan pengurusan, yang cukup penting dan kritikal untuk mencetuskan kemajuan.

Oleh itu, pembinaan kemampuan manusia harus diberikan keutamaan yang tinggi dalam usaha pembangunan seluruh negara Islam. Ia harus diintergrasikan dengan strategi pembangunan ekonomi, sosial dan sumber manusia dan pada masa yang sama, mematuhi dengan taat ajaran Islam yang asas dan benar.

Pada tahap ini saya ingin mengatakan beberapa perkara tentang dinar emas. Cadangannya adalah untuk menjadikan dinar sebagai mata wang untuk perdagangan antarabangsa sahaja. Ia bukan bertujuan menggantikan mata wang mana-mana negara.

Perdagangan antarabangsa memerlukan penetapan kadar pertukaran mata wang di antara negara-negara yang berdagang. Melalui mata wang kertas ia tidak mempunyai nilai intrinsik. Bagaimanapun kadar pertukaran dibuat sembarangan dan bergantung kepada manipulasi sebagaimana kita lihat ketika krisis kewangan Asia.

Nilai emas ditetapkan berdasarkan permintaan terhadap logam ini. Nilainya boleh meningkat atau susut mengikut permintaan dunia dan permintaan dalam sesebuah negara. Tetapi naik turunnya adalah kecil. Dinar emas diperbuat daripada emas yang akan dipengaruhi oleh harga emas.

Harga emas tempatan akan menentukan kadar pertukaran bagi mata wang tempatan berbanding dengan dinar. Dengan demikian, harga barangan import dalam dinar boleh dikira dalam mata wang tempatan dan begitu sebaliknya bagi barangan tempatan yang dieksport.

Dinar boleh dianggap sebagai simpanan bank pusat. Perdagangan tidak perlu dibayar pada nilai sebenar dinar tetapi urusan import dan eksport di antara negara yang berdagang boleh diimbangkan dan hanya perbezaan nilai sahaja yang dibayar dengan dinar. Dengan cara ini ia mengecilkan keperluan pergerakan dinar emas. Malah lebihan atau pengurangan boleh dikreditkan atau didebitkan berbanding dengan import atau eksport masa depan.

Kami telah membuat rangka kerja bagi menggunakan dinar emas dan sebarang masalah yang timbul boleh diselesaikan. Risiko spekulasi akan dikurangkan hingga tiada langsung. Perdagangan dunia sebenar boleh dikembangkan kerana kos perniagaan akan bertambah mengecil sebagaimana yang diingini hingga ia lenyap secara praktiknya.

Saya harap para perwakilan akan memberi masa untuk memikirkan tentang idea dinar emas ini.

Penduduk Islam dunia pada masa kini ialah 1.3 bilion yang juga mewakili bahagian penting dalam penduduk dunia. Terdapat lebih banyak negara Islam boleh menyumbang meningkatkan sosioekonomi `ummah’.

Saya pasti ada di antara kita mempunyai banyak bakat dan kepakaran dalam semua bidang termasuk kewangan Islam dan konvensional, ekonomi Islam dan konvensional, sistem kewangan Islam, produk penstrukturan pasaran modal, `fiqh-muamalat’ dan seumpamanya.

Mari kita bersama-sama menggunakan sumber dan kepakaran yang sedia ada dan membantu meningkatkan keupayaan dalam bidang kewangan Islam, ekonomi dan pasaran modal. Mari kita mereplikakan dalam bidang kewangan dan pasaran modal Islam ini, sebagaimana kejayaan terdahulu pemikir Islam dalam bidang seperti matematik, astronomi dan perubatan yang menyumbang ke arah perubahan Islam sebagai tamadun dunia.

Kerjasama yang lebih erat dan kuat juga diperlukan dalam usaha kita membina sumber manusia yang berdaya tahan di antara dan di kalangan negara Islam. Dalam hubungan ini, negara Islam perlu mempengaruhi pertubuhan-pertubuhan sedia ada seperti IDB dan OIC.

Dengan bertukar-tukar rakan kongsi dalam institusi yang ada, negara anggota boleh dirayu bagi menyediakan pelbagai jenis latihan dan pendidikan bagi menyambung pengetahuan dan kemahiran di kalangan rakyat dan masyarakat kita.

Melalui OIC, banyak kemajuan dicapai dalam bidang pembinaan institusi dan modal manusia, tetapi lebih banyak boleh dan perlu dilakukan. Terutama ahli akademik Islam, pemimpin perniagaan yang berjaya dan pakar teknikal perlu dijemput bagi mengembangkan lagi pengetahuan dan penyelidikan dalam bidang ekonomi dan pembangunan, perbankan dan kewangan Islam.

Sementara rempuhan syarikat dan peraturan keselamatan sering menjadi asas akauntabiliti, amanah, ketelusan, menghindari konflik, tanggungjawab ahli lembaga pengarah dan hak pemegang saham, dan istilah urus tadbir korporat sudah menjadi slogan sejak krisis kewangan Asia.

Dari semasa ke semasa kita diberi syarahan tentang bagaimana urus tadbir korporat kita lemah dan sebab itu ia menyebabkan kita semua sakit dan berpenyakit.

Sudah tentu urus tadbir yang baik terdapat juga dalam nilai-nilai Islam. Jika kita mengawal urus niaga berdasarkan profesionalisme Islam, mengikut etika yang tinggi dan konsep yakin atau `amanah’, ia adalah asas dalam Islam, urus tadbir yang baik tidak dapat dielakkan daripada produk.

Surah Al-Baqarah (ayat 282 dan 283) menegaskan kepentingan ketelusan dengan menyediakan langkah demi langkah proses yang patut diikuti apabila melakukan urus niaga, menegaskan kepentingan penyimpanan rekod dengan itu menghindari ketidakadilan kepada pihak yang terlibat dan menegaskan perlunya akauntabiliti dan ketelusan.

Tambahan pula konsep amanah sudah mengembang dalam Islam. Dalam Surah Al-Anfal (ayat 27) kita disuruh tidak mengingkari amanah Tuhan dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu.

Rasul (s.a.w) di dalam hadis ada mengatakan yang bermaksud setiap kita adalah pemimpin dan setiap pemimpin mempunyai akauntabiliti terhadap apa sahaja di bawah tanggungjawabnya.

Dalam Surah An-Nisa (ayat 58) Allah mengarah kita supaya menyerah segala jenis amanah kepada ahli yang berhak menerimanya.

Oleh itu janganlah kita melihat urus tadbir sebagai sesuatu yang pelik. Dalam Islam unsur-unsur urus tadbir yang baik – amanah, akauntabiliti, amalan beretika – sangat diperlukan dalam hidup ini bukan suatu yang menjadi slogan baru sahaja.

Jika kita yakin bahawa kita selalu dipandu dengan prinsip dalam semua urusan kita, urus tadbir yang baik akan menjadi amalan kedua kita.

Saya yakin penglibatan saudara dalam persidangan ini dan penyertaan aktif saudara ke arah membangunkan pasaran modal Islam akan memastikan kesinambungan, meningkatkan kesesuaian syariah dalam dunia hari ini. -Arkib Utusan Melayu 27-03-2002

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *