Pelaburan Lebur Tun Teja

Kuala Lumpur: Menggunakan nama srikandi Melayu Tun Teja dan kononnya kelab ditubuhkan mereka berorientasi kebajikan dan sosial, suami isteri ini dikatakan mengaut keuntungan jutaan ringgit daripada ribuan mangsa yang membuat pelaburan dengan mereka.

KES DUTA EMAS KEHORMATAN/ PROJEK METRO

Antara taktik pasangan berusia 40-an itu ialah mengumpan mangsa dengan pulangan pelaburan lumayan antara lima hingga 11 peratus, selain menganugerahkan pelabur yang membuat pelaburan lebih RM100,000 selendang emas serta dua logo diraja untuk dipasang pada plat kereta.

Bagaimanapun, mereka yang dipercayai mula mengutip wang pelaburan secara haram sejak 2011 didakwa gagal membayar komisen serta pulangan kepada ribuan pelabur meskipun ada yang melabur jutaan ringgit.
Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Kassim, 42, berkata, dia mengambil masa setahun untuk mengikuti program dianjurkan suami isteri itu sebelum membuat keputusan melabur RM600,000.

“Saya lihat kesungguhan mereka yang kononnya berjuang membantu anak Melayu selain mahu pelabur yang terdiri daripada rakan baik dan kenalan rapat memperoleh pendapatan lumayan untuk menjamin kehidupan lebih baik.

“Duit itu akan dilaburkan dalam saham sebuah bank pelaburan berikutan pengalaman, ilmu dan kemahiran yang dimiliki si isteri selepas berkhidmat hampir 20 tahun dalam bidang kewangan dan pelaburan,” katanya.

Katanya, selepas melihat kelab itu membayar pulangan pelaburan kepada ahli kumpulan pertama pada 2013, Kassim bersetuju untuk melabur.

– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23984#sthash.TtydAA18.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *