Sedia Hadapi Krisis Kewangan
Pada Rabu lalu seramai 100 orang yang berpengaruh dari seluruh Eropah telah menulis surat terbuka kepada ketua-ketua 17 negara kesatuan Eropah. Dalam surat kepada ketua-ketua negara berkenaan, ada menyebut bahawa mereka tidak boleh lagi ambil mudah atau sekadar “menyepak tin kosong di tepi jalan”.
Dengan lain perkataan ketua-ketua negara Eropah mesti melakukan sesuatu ke atas masalah hutang yang mereka hadapi termasuk masalah sistem perbankan atau malapetaka akan mendatangi mereka semua.
Pasaran kewangan dan pasaran saham seluruh dunia terus menanti dengan penuh rasa kebimbangan ke atas tindakan seterusnya yang akan diambil oleh pemimpin-pemimpin negara Kesatuan Eropah ini. Langkah yang mereka ambil akan menentukan sama ada pasaran akan kembali stabil atau terus menjunam.
Sejarah krisis kewangan dunia
Kepada sebahagian besar daripada kita sudah tentu masih dapat mengingati bagaimana negara kita terjebak didalam krisis kewangan yang berlaku pada tahun 1997/98 yang dipanggil krisis kewangan Asia. Krisis ini bermula apabila mata wang baht Thailand telah dinilai semula dan ini telah mengakibatkan mata wang negara kita juga terjejas teruk. Pada kemuncak krisis yang berlaku nilai mata wang kita berbanding dolar Amerika hampir mencecah ke paras RM5 pada setiap dolar Amerika. Sistem kewangan kita menjadi tidak menentu dan banyak perniagaan yang gulung tikar terutama yang meminjam dalam dolar Amerika. Hutang mereka sekelip mata menjadi tinggi. Malahan ramai dari kita yang kehilangan pekerjaan ketika itu dan mengalami kerugian besar dipasaran saham.
Sekali lagi krisis kewangan telah melanda dunia pada tahun 2008 yang kali ini bermula di Amerika. Ini adalah disebabkan sistem perbankan mereka telah memberikan pinjaman mudah kepada pembeli-pembeli rumah walaupun mereka sebenarnya tidak mampu untuk membayar balik pinjaman tersebut. Krisis ini juga dikenali sebagai krisis sub-prima.
Kedudukan pasaran saham dunia
Pasaran saham diseluruh dunia telah terjejas sejak beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan oleh ketidaktentuan tentang kestabilan sistem kewangan di negara-negara Eropah. Secara purata bursa-bursa utama diseluruh dunia telah mengalami kemerosotan yang agak banyak. Tidak ada negara yang terlepas dari tempias krisis kewangan di Eropah ini termasuk di Malaysia.
Saban hari pasaran akan sentiasa berada dalam keadaan yang tidak menentu. Berita tentang masalah kewangan di Eropah terus mendominasi sentimen pasaran. Berita-berita yang positif silih berganti dengan berita negatif sehinggakan ramai penganalisis saham sudah tidak berani membuat unjuran tentang prospek pasaran.
Kesan krisis terkini ke atas ekonomi Malaysia
Dalam sidang akhbarnya baru-baru ini, Datuk Charon Wardini Mokhzani, Pengarah Eksekutif CIMB Investment Bank berkata, walaupun terdapat ketidaktentuan arah tuju dan sentimen yang negatif dipasaran saham, ekonomi dan suasana perniagaan di rantau Asia adalah baik dan memberangsangkan.
Beliau berkata ketidaktentuan pasaran adalah disebabkan ketidakpastian bagaimana krisis kewangan di Eropah ini akan diatasi dengan sebaik-baiknya.
Tambah beliau, Malaysia, Asia Tenggara dan seluruh Asia tidak mempunyai sebarang masalah kewangan yang boleh menggugat kestabilan ekonomi di rantau ini.
Pandangan terhadap ekonomi Asia adalah ia akan terus mengalami kemajuan disebabkan oleh perdagangan yang rancak di antara negara-negara Asia itu sendiri. Kerjasama perdagangan ini dilihat sebagai jalan terbaik untuk terus memakmurkan ekonomi rantau ini dimana jumlah penduduk yang tinggi di Asia dengan pendapatan per kapita yang terus meningkat akan menjadikan pengguna mempunyai kuasa beli yang tinggi.
Begitu juga apa yang sedang berlaku di Malaysia dimana usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi akan terus membolehkan rakyat hidup dalam suasana yang lebih baik dan harmoni.
Langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan dilihat berada pada landasan yang betul untuk membolehkan seluruh rakyat mengecapi faedah yang terbaik untuk meningkatkan mutu hidup semua golongan. Dengan kuasa membeli yang lebih tinggi diharap negara kita tidak perlu terlalu bergantung kepada eksport ke negara-negara lain termasuk Eropah dan Amerika yang menjadi rakan niaga terbesar kita buat masa ini.
Rangsangan ekonomi dalaman dijangka akan dapat terus meningkatkan rantaian perniagaan yang berdaya saing terutama di dalam negara dan juga dengan negara-negara jiran serantau sebagai rakan niaga baru. Dengan ini kebergantungan kita terhadap pasaran Eropah dan Amerika akan dapat dikurangkan dan sebarang kemerosotan ekonomi yang mereka alami tidak akan terlalu menjejaskan ekonomi negara kita.
Unjuran KDNK negara
Malaysia menyasarkan unjuran KDNK negara pada kadar antara 5 hingga 5.5 peratus untuk tahun 2011 dan 5 hingga 6 peratus untuk tahun 2012. Namun kadar ini dilihat agak tinggi oleh penganalisis ekonomi. Ini adalah disebabkan Malaysia masih agak bergantung kepada eksport luaran. Kegagalan rantau Eropah mengatasi masalah kewangan mereka mungkin akan mengheret Malaysia kepada kegagalan mencapai angka tersebut. Begitu juga kekuatan ekonomi Amerika sangat-sangat diperlukan oleh Malaysia yang masih banyak bergantung kepada pasaran ini.
Kemerosotan ekonomi China juga dilihat sebagai ancaman kepada unjuran yang kita lakukan. Kepada sebahagian dari penganalisa ekonomi mereka lebih melihat unjuran sebanyak 4 peratus untuk tahun 2011 dan 2011 adalah lebih realistik disebabkan oleh faktor-faktor yang disebut tadi. MIER sendiri mensasarkan unjuran KDNK negara pada kadar 4.6 peratus untuk tahun 2011.
Di landasan yang betul
Dasar-dasar yang sedang diambil oleh kerajaan untuk memakmurkan ekonomi negara dilihat sebagai langkah bijak didalam menangani isu kebergantungan negara kepada eksport luaran dan kemungkinan kemelesetan ekonomi di Eropah dan Amerika.
Walaupun sebarang tindakan yang diambil memerlukan jangkamasa yang panjang untuk dilihat keberkesanannya, tetapi kita telah mengambil tindakan proaktif kearah itu. Pelan Transformasi Ekonomi dan Bajet 2012 yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri dilihat dapat meningkatkan permintaan dalam negara. Pendapatan boleh pakai rakyat yang meningkat diharap dapat membantu mereka berbelanja dan merancakkan ekonomi negara.
Struktur sistem percukaian negara mungkin boleh diperbaiki lagi untuk membolehkan negara meningkatkan sumber pendapatan untuk menjalankan projek-projek yang boleh meningkatkan mutu kehidupan rakyat secara berterusan. Kerajaan dilihat sebagai perlu meningkatkan pendapatan negara dari sumber yang lebih menyeluruh dan lebih adil.
Harapan masa depan
Malaysia sebagai sebuah negara yang ingin mencapai taraf negara maju pada tahun 2020 perlu terus berusaha untuk memantapkan ekonomi dalaman dan terus mencari pasaran-pasaran baru untuk terus berdaya saing di dalam menghadapi cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu.
Putaran krisis kewangan dunia mungkin akan terus berlaku di masa hadapan dan diharap Malaysia bersiap sedia dengan kekuatan ekonomi dalamannya. – Utusan