Syiling emas peringati kemenangan PH ( kerAJAAN BARU ) dilancar

KUALA LUMPUR 24 Mac – Koleksi syiling emas telah dilancarkan sebagai memperingati kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kejayaan parti itu diangkat menjadi kerajaan.

Majlis pelancaran yang diadakan di sini semalam dihadiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof.

Semasa berucap dalam majlis pelancaran tersebut, Mohd. Redzuan yang merupakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kejayaan PH memenangi PRU-14 merupakan detik yang cukup istimewa dengan majoriti rakyat berkongsi keyakinan politik untuk melakukan perubahan dan membuka lembaran baharu dalam senario politik negara.


SYILING emas bagi memperingati kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14

“Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan tokoh yang sedang menikmati pengiktirafan dan penghormatan tinggi masyarakat antarabangsa. Kejayaan menerajui semula kerajaan buat kali kedua adalah sejarah politik yang luar biasa dan diakui masyarakat dunia.

“Saya cukup yakin dengan strategi pemasaran yang berkesan, syiling peringatan ini bukan sahaja boleh dimiliki oleh rakyat Malaysia, malah mampu menarik perhatian peminat antarabangsa,” katanya dalam majlis tersebut, menurut kenyataan yang diberikan oleh Setiausaha Akhbarnya, Muhammad Mahathir.

Pengeluaran koleksi syiling itu yang mempunyai ukiran wajah Dr. Mahathir dan logo-logo parti komponen PH diusahakan oleh sebuah syarikat, Puncak Julung Enterprise dan dijual pada harga RM160 dengan ketulenan emas 999 seberat 0.1 gram.

Tambah Mohd. Redzuan, fokus Perdana Menteri dan kerajaan mutakhir ini terarah kepada usaha mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai ‘Harimau Asia’ yang dihormati.

“Usaha memperkasa ekonomi dan mensejahterakan kehidupan rakyat sedang dan akan terus diikhtiarkan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Puncak Julung Enterprise, Datuk Mohd. Rodhi Abd. Hamid menganggap pelancaran syiling peringatan itu mampu menggalakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kejayaan Dr. Mahathir menerajui kemenangan dalam PRU-14 adalah sejarah yang wajar diingati oleh rakyat Malaysia. Syiling peringatan khas ini boleh dijadikan kenangan yang dikongsi bersama generasi akan datang,” katanya.

Mereka yang berminat untuk memiliki syiling peringatan tersebut boleh melayari laman web rasmi https://tunmcc.com.my/ untuk membuat pembelian bermula semalam. – UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/syiling-emas-peringati-kemenangan-ph-dilancar-1.868524#ixzz5j4clcc4c
© Utusan Melayu (M) Bhd

One Response so far.

  1. azrinros says:

    Emas tetap nilainya berkekalan.

    [Reply]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *