Amanah Saham 1 Malaysia (AS1M)
KUCHING: Penawaran pelbagai dana untuk Bumiputera di pasaran dikenal pasti punca utama unit Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) yang diperuntukkan untuk kuota Bumiputera masih banyak berbaki berbanding kuota bagi kaum Cina.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata kebanyakan baki AS1M yang dilancarkan Julai lalu membabitkan kuota Bumiputera dan India, manakala pembelian terpantas adalah di kalangan pelabur Cina.Katanya, setakat ini hanya tinggal RM160 juta atau kira-kira lima peratus saham AS1M daripada RM3 bilion untuk kuota Cina yang masih tinggal, tetapi beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar AS1M bagi kuota Bumiputera yang sudah dijual setakat ini.”Jumlah unit AS1M untuk kuota Bumiputera di negara ini masih banyak… tak payahlah saya sebut jumlahnya. Mana-mana Bumiputera yang masih belum membeli AS1M atau ingin menambah jumlah pelaburan boleh berbuat demikian pada bila-bila masa, katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Bersama Kumpulan PNB sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010 di Dewan Pelbagaiguna, Kampung Jawa, di sini semalam yang dirasmikan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.
Hamad Kama Piah berkata, dana pendapatan ekuiti dapat dijual pada kadar yang pantas di kalangan masyarakat Cina kerana tidak banyak dana ditawarkan oleh PNB kepada bukan Bumiputera.
Mengenai punca kurang sambutan Bumiputera terhadap AS1M, beliau berkata, ia mungkin kerana ramai masih menanti kadar dividen pertama dana itu diumumkan untuk dibandingkan dengan lain-lain saham amanah di bawah PNB sama ada pulangannya sama menarik.
“Daripada maklumat yang diperoleh, Bumiputera lebih selesa melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Didik,” katanya.AS1M, dana harga tetap bernilai RM1 seunit dibuka kepada semua rakyat Malaysia dengan 50 peratus dikhaskan kepada Bumiputera, 30 peratus Cina, 15 peratus India dan lima peratus untuk lain-lain bangsa. Ia saham amanah kelima PNB selepas ASB, ASM, Amanah Saham Didik dan Amanah Saham Wawasan 2020.
Sementara itu, beliau berkata, Sarawak menduduki tangga ketiga dengan nilai pelaburan saham dana PNB mencecah RM10.9 bilion selepas Selangor dan Kuala Lumpur, sekali gus membuktikan sambutan penduduk negeri ini terhadap produk PNB sangat baik berbanding negeri lain.Berita Harian Oleh Matzidi Dris , mzidi@bharian.com.my , 2010/04/04 .
Untuk makluman semua , saya bukan agen amanah saham tetapi agen menjual dan membeli product emas keluaran Public Gold.Berdasar pada artikel diatas mengambarkan kaum Melayu paling kurang membuat pelaburan untuk masa depan.Antara penyebab :
Menjadi lumrah bg masyarakat bumiputera terutamanya amat jarang berminat melabur bagi keuntungan jangka panjang.Budaya malas menabung,gemar keuntungan jangka pendek dan gagal mengurus kewangan dgn bijaksana adalah antara kelemahan yg memerlukan perhatian serius pemimpin atasan.Di samping kekangan hidup,mudah menyarah kalah dan cepat berputus asa adalah antara simptom yang menjadikan golongan bumiputera dikategorikan kurang berjaya dari aspek pengurusan kewangan.Oleh itu cerdik pandai melayu dan bumiputera perlu mencari formula terbaik bagi menghakis budaya jumud dan lemah ini daripada terus membelenggu golongan bumiputera. – Nora Ismail