Guru Ditipu Skim Pelaburan
PASIR MAS – Seorang bekas guru mengalami kerugian kira-kira RM10,000 apabila ditipu pelaburan berkonsepkan simpanan alternatif kelolaan sebuah syarikat yang berpengkalan di Putatan, Kota Kinabalu, Sabah.
Bekas guru berkenaan yang mahu dikenali sebagai Die berkata, dia menyedari ditipu apabila pulangan keuntungan tidak lagi dibayar sebagai mana yang telah dijanjikan sebelum ini.
“Bukan itu sahaja, laman sesawang yang digunakan untuk segala urusan berkaitan dengan urusan pelaburan itu telah ditutup.“Pada mulanya ia berjalan lancar sebagaimana yang dijanjikan, namun memasuki bulan Januari pelaburan ini mulai bermasalah,” katanya.
Dia berkata, pelaburan tersebut disertai olehnya semenjak Oktober tahun lepas selepas dipromosikan oleh kawan-kawan.Menurutnya, selainya seramai 40 pelabur dari seluruh negara turut menjadi mangsa pelaburan berkenaan dan dianggarkan mengalami kerugian berjumlah RM259,000.
Katanya, kebanyakan yang terpengaruh dengan pelaburan ini ialah kakitangan kerajaan dan ada dalam kalangan mereka membuat pelaburan sehingga RM50,000.
“Saya harap masyarakat di luar sana tidak mudah terpengaruh dengan segala bentuk pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa.
“Jadikan apa yang berlaku kepada saya ini sebagai pengajaran dan jangan ulanginya pada masa akan datang,” katanya
Menurutnya, masih ramai yang menjadi mangsa tetapi tidak tampil membuat aduan kerana takut dan malu.Dia berharap pihak berkuasa juga dapat mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat untuk mengelakkan mangsa yang lebih ramai.
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/guru-ditipu-skim-pelaburan-1.369544