Permintaan Emas Di Pasaran Pulih Sedikit

PERMINTAAN terhadap emas telah menyaksikan sedikit pemulihan di dalam pasaran barangan kemas dan pasaran industri sejagat.

Barangan kemas yang menjadi pasaran terbesar emas telah menunjukkan penurunan kecil pada tahun lalu di dalam suku keempat sebanyak lapan peratus dengan permintaan kukuh dari India dan China berbanding negara-negara barat, kata Majlis Emas Sedunia.

Ini membuktikan bahawa sesetengah pengguna sedang menyesuaikan diri dengan keadaan harga yang tinggi di mana emas melonjak 38 peratus pada suku keempat lalu hingga kepada purata AS1,099.63 (RM3,738.74) seaun.

Keseluruhannya permintaan di kalangan pelabur, pengguna industri, pembuat barangan kemas berjumlah 819.7 tan metrik pada tiga bulan terakhir 2009, penyusutan 1,0771 tan metrik berbanding tempoh yang sama tahun 2008.

Manakala sektor industri dan penggunaan pergigian menunjukkan peningkatan 11 peratus kepada 99.7 tan sebahagian besar permintaannya disebabkan oleh permintaan dari pengeluar-pengeluar elektronik.

“Apa yang kita lihat merupakan sebahagian daripada permulaan dan saya tidak mahu membuat penegasan tetapi ia merupakan apa yang dikatakan sedikit pemulihan di dalam barangan kemas dan industri, kata Pengarah Urusan Majlis bagi Hal Ehwal Kerajaan, Georgei Milling- Stanley.

Kumpulan yang berpengkalan di London itu melihat banyak kepentingan di kebangkitan pasaran seperti di India yang menjadi pengguna nombor satu emas dan China.

Penggunaan emas bagi barangan kemas di India meningkat 27 peratus pada suku keempat tahun lalu kepada 137.8 tan.

Manakala China pula dilaporkan mengalami peningkatan dua peratus kepada 86.5 tan untuk kegunaan barangan kemas tetapi di Amerika Syarikat ia menurun 17 peratus, kata majlis itu.

Penggunaan barangan kemas jatuh 20 peratus kepada 1,747.3 tan, pelaburan naik tujuh peratus kepada 1,270.9 tan metrik dan industri serta penggunaan pergigian turut jatuh 16 peratus kepada 367.6 tan metrik.

Berikutan kenaikan harga, permintaan emas telah meningkat lebih sedikit daripada AS$100 bilion (RM340 bilion) pada tahun lalu bagi tempoh dua tahun berturut-turut. Di masa depan, majlis menjangkakan permintaan barangan kemas dan industri akan berterusan asalkan ekonomi dunia pulih. – AP/Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *