500 Pelabur Terpedaya Janji Untung

Nota : Sila bagi perhatian pada teks yang di BOLD kan , ini kerana kebanyakkan skim menggunakan “points” tersebut.

Lebih 500 pelabur jadi mangsa penipuan sebuah syarikat pelaburan selepas terpedaya dengan pelbagai janji manis ditaburkan sepasang suami isteri.

Seorang pekerja swasta, Zainol Abidin Othman, 54, berkata, dia melabur RM3,500 pada Januari lalu kerana percaya janji imbuhan bulanan yang diterangkan seorang lelaki dikenali sebagai ustaz.

Menurutnya, konsep diperkenalkan dengan penggunaan nas dan hadis oleh pasangan suami isteri yang dikatakan pesara guru agama itu benar-benar meyakinkannya.

pelabur terpedaya

“Mereka berikan jadual bayaran imbuhan ikut pakej kita ambil. Jika saya telah bayar  RM3,500 akan peroleh RM1,000 pada bulan berikutnya selama tiga bulan dan RM4,000 bulan seterusnya.

“Malangnya selepas bayaran dibuat melalui akaun pengurus wilayah selatan pada Januari lalu, wang sepatutnya dimasukkan ke akaun saya pada bulan berikutnya tidak diterima dan dikatakan ditangguhkan ke tarikh lain, tetapi sehingga kini satu sen pun tak diterima,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Seorang lagi pekerja swasta, Zakaria Ismail, 50, berkata, dia membuka tiga akaun dengan pakej berbeza berjumlah RM9,000 selepas terpedaya dengan pengalaman pelabur lama menerima cek puluhan ribu ringgit ketika hadir seminar yang diadakan di sebuah hotel, Januari lalu.

Menurutnya, dia turut mengambil pakej untuk seorang anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dengan harapan dapat tampung wang perbelanjaan anaknya itu.

“Saya keluarkan modal, masukkan seorang anak yang tengah belajar di universiti dengan harapan dia dapat duit poket daripada imbuhan bulanan dijanjikan kerana pada peringkat permulaan, ambil pakej RM350 bayaran dibuat dengan betul.

“Saya memang tertarik dengan kejayaan pelabur lama yang hadir pada seminar berkenaan untuk menerima cek keuntungan berjumlah puluhan dan ratusan ribu ringgit, tetapi saya tertipu,” katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Ariffin Abd Rahman, 59, berkata, dia mengambil pakej RM35,000 pada Januari lalu kerana mengakui tamak dengan imbuhan dijanjikan sebanyak RM110,000.

Menurutnya, dia memang tidak menyangka pembabitan golongan berlatar belakangkan agama yang tinggi sanggup terlibat dalam penipuan sedemikian rupa.

“Saya akui ini salah sendiri kerana cepat termakan dengan janji manis mereka yang sanggup main sentimen agama sehingga membuatkan kita begitu yakin, orang seperti ini tidak akan melakukan penipuan.

“Harapan saya agar masyarakat jangan mudah terpedaya dan jadikan pengalaman kami sebagai pengajaran sebelum terbabit dalam apa sahaja skim pelaburan,” katanya selepas membuat empat laporan polis bersama rakan yang lain.

  • http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/500-pelabur-terpedaya-janji-manis-1.526573

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *