Jerman Bawa Pulang Emas Yang ‘disimpan’ di Amerika Syarikat
NEW YORK 12 Feb. – Jerman berjaya membawa pulang kesemua 272,155 kilogram emas bernilai kira-kira AS$13 bilion (RM57.7 bilion) yang ‘disimpan’ di Amerika Syarikat (AS) semasa Perang Dingin.
Bank Pusat Jerman, Bundesbank memberitahu, sebanyak 100,698 kilogram emas telah dibawa pulang daripada Rizab Persekutuan New York pada tahun lalu.
Menurut laporan portal Dailymail, emas-emas berkenaan adalah milik Jerman Barat (kini Jerman) hasil lebihan dagangan pada 1950-an dan 1960-an namun tidak pernah dibawa keluar dari AS kerana bimbang jika berlaku pencerobohan Soviet Union.
Pada 2013, Jerman menggerakkan usaha memindahkan emas-emas dari New York serta 339,287 kilogram emas lagi dari Paris ke Frankfurt.
Bank itu juga mengambil semula 95,254 kilogram emas dari Paris pada tahun lalu namun masih terdapat 82,553 kilogram emas yang perlu dipulangkan dan bercadang untuk membawanya pulang pada tahun ini.
Sebaik sahaja pemindahan itu selesai, Frankfurt akan menyimpan sejumlah 3.06 juta kilogram emas manakala selebihnya disimpan di New York dan London.
Ahli Lembaga Pengarah Bundesbank, Carl-Ludwig Thiele berkata, pemindahan dilaksanakan tanpa sebarang gangguan dan tiada pemindahan lagi akan dilakukan selepas itu.
Pada 31 Disember tahun lalu, terdapat 1.12 juta kilogram emas milik Jerman di New York iaitu sebanyak 36.6 peratus daripada jumlah keseluruhan emas negara ini.
The Bank of England di London menyimpan 391,904 kilogram emas selepas Bundesbank membawa pulang kira-kira 771,107 kilogram emas dari London antara 1988 dan 2001.
Semasa Perang Dingin, Jerman Barat menyimpan emas miliknya di luar negara kerana bimbang jatuh ke tangan Soviet.
Kredit : http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jerman-bawa-pulang-emas-1.443651