5 Tahun Sebelum Ini 1 Dinar ialah RM243
Banyak orang mengetahui mengenai dinar emas tetapi berapa ramai pula yang yakin kewujudannya sebagai satu lagi alternatif pelaburan yang mampu memberikan pulangan yang baik.
Selain bebas daripada unsur-unsur riba, dinar emas ternyata mampu dijadikan instrumen pelaburan terbaik, berdasarkan sifat emas itu sendiri sebagai satu komoditi yang amat bernilai dan boleh didagangkan di seluruh dunia.
Di Malaysia, dinar emas wujud dan ia adalah satu instrumen pelaburan yang sah dan mampu memberikan pulangan yang baik selain kaedah urus niaga atau pelaburan lain.
Menurut Pengarah Urusan KPMJ Gold Sdn. Bhd. Ariff Kassim, mungkin kerana pelaburan atau urus niaga menggunakan dinar emas ini masih baru di negara ini, menyebabkan ramai yang kurang berpengetahuan mengenainya.
“Ia (pelaburan dan urus niaga menggunakan dinar emas) sebenarnya telah bermula di Malaysia dan pulangan kepada mereka yang menyertainya amat kompetitif.
“Sebagai contoh… enam bulan lepas, satu dinar emas dijual pada harga RM212 dan harga semasa bagi satu dinar ialah RM243. Bayangkan keuntungannya,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu pertemuan di pejabatnya di Johor Bahru baru-baru ini.
KPMJ Gold ialah anak syarikat Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor yang dilantik sebagai wakala (ejen) IGD Practice Sdn. Bhd. untuk mengembangkan penggunaan dinar emas dalam masyarakat di Johor dan Singapura.
Satu dinar ialah bersamaan 4.25 gram emas 916 dan piawaian ini ditetapkan oleh Sayidina Umar al-Khattab ketika menjadi khalifah Islam yang kedua.
Pada masa ini, dinar emas dijual dalam pecahan setengah dinar, satu dinar, dua dinar dan 20 dinar mengikut harga emas di pasaran semasa.
Menurut Ariff, melabur atau membuat urus niaga dengan dinar menepati keperluan syariah dalam usaha mewujudkan satu sistem ekonomi tanpa riba.
“Jika kita beli saham, kita sebenarnya membeli `kertas’ dengan nilai tertentu berbanding membeli dinar, kita sebenarnya membeli emas yang sebenar,” katanya.
Di Malaysia, tambah beliau, memang ada pelbagai kaedah pelaburan dan dinar emas adalah satu daripada instrumen pelaburan yang seharusnya dipertimbangkan dengan sewajarnya.
Jika sebelum ini ramai yang membuka akaun simpanan tetap, akaun simpanan atau melabur di mana-mana saham amanah, kini mengapa tidak mencuba melabur melalui dinar emas sebagai satu lagi opsyen, tanya beliau.
“Infrastruktur untuk menjalankan urus niaga dinar emas kini telah wujud dan mengapa ia tidak dimanfaatkan kerana terbukti ia memberi pulangan yang baik kepada pelaburan yang dibuat,” jelas beliau.
Sejak lima tahun lalu, katanya, harga emas di pasaran antarabangsa telah meningkat 49 peratus.
Mengenai kaedah urus niaga dan pelaburan yang dikendalikan oleh KPMJ Gold, beliau menjelaskan, mereka yang melabur boleh membeli dinar emas pada harga semasa dan menjualnya semula apabila berpendapat telah meraih keuntungan.
“Emas (dinar) yang dibeli boleh dibawa balik untuk dijadikan simpanan peribadi atau membuka akaun dan menyimpannya dengan KPMJ Gold.
“Akaun dengan kami boleh diakses 24 jam sehari melalui Internet dan kami tidak mengenakan sebarang kos tambahan untuk menyimpan dengan selamat dinar emas para pelanggan,” jelas beliau.
Selain pelaburan berbentuk simpanan itu, Ariff berkata, dinar emas itu juga boleh dilaburkan di bawah skim Qiradh – satu skim pelaburan Islam yang berasaskan konsep al-mudharabah.
Qiradh menawarkan pulangan antara lapan hingga 11 peratus setahun – berdasarkan nilai dinar emas ketika pelaburan dibuat dan jumlah dinar yang dilaburkan.
Keuntungan yang diperoleh dibayar secara bulanan, mulai bulan pertama tanpa perlu menunggu tempoh matang (setahun).
Sejak KPMJ Gold dilantik menjadi wakala Februari lalu, katanya, sambutan terhadap pelaburan menggunakan dinar emas ini menggalakkan.
Bagaimanapun, banyak lagi yang akan dilakukan untuk mendedahkan kepada orang ramai mengenai peluang meraih pulangan melalui dinar emas.
“Kita menyasarkan untuk mencatatkan perolehan lebih RM20 juta dalam tahun pertama operasi dan berharap lebih banyak yang mengetahui manfaat melabur dalam dinar emas akan berurusan dengan kami,” katanya.
Mereka yang berminat bagaimanapun perlu benar-benar memahami kaedah pelaburan dan pengiraan keuntungan pelaburan dibuat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan sebelum membuat sebarang komitmen.- 19/04/2005-Arkib Utusan Malaysia Oleh Zaharuddin Md Ali (Wartawan Utusan)