Lubuk Emas Di Jalanan

Salam sahabat emas semua…..agak-agak sahabat emas semua , dimana terletaknya lubuk emas jalanan yang saya maksudkan….Kalau sahabat semua tahu , agak-agak sahabat semua turut serta pergi mencarinya tak ?….Tapi lubuk emas jalanan yang saya maksudkan ini memang tidak sesuai sama sekali diamalkan….Dalam Islam pun melarang umatnya mencari rezeki melalui lubuk emas jalanan………

GOMBAK – Sekitar kawasan Batu Caves mula dicemari pengemis jalanan yang terdiri daripada warga asing China dengan meminta sedekah kepada orang ramai di sini.

Seorang penduduk, K S Kumar berkata, pengemis terbabit dipercayai didalangi satu sendiket yang telah menghantar mereka ke beberapa lokasi di sekitar kawasan ini yang dianggap sebagai lubuk emas mereka.

Katanya, dia pernah melihat lebih lima pengemis turun dari sebuah van dan rata-rata pengemis itu terdiri daripada lelaki dan wanita yang sudah berusia bagi meraih simpati orang ramai.

Menurutnya, kedatangan pengemis itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah mencemarkan imej negara ke-pada pelancong asing lebih-lebih lagi Batu Caves adalah salah satu destinasi pelancongan yang terkenal di negara ini.

“Apa yang kita kesalkan aktiviti mereka semakin rancak dan tiada tindakan yang diambil sehinggakan ada antara mereka yang seolah-olah memaksa orang ramai memberi mereka wang.

“Jika kita tidak berikan wang, dia tidak akan berganjak dan akan terus berdiri di sebelah kita terutamanya ketika di kedai makan dan situasi ini begitu tidak selesa,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Bagi Ahmad Syuhairi Shamsuddin pula, aktiviti pengemis ini sekiranya tidak dipantau dan dibanteras bukan sahaja mencalarkan imej negara malah tidak mustahil lebih ramai individu yang akan mengekori aktiviti ini sebagai satu jalan mendapatkan wang dengan mudah.

Menurutnya, taktik kotor yang digunakan dengan menjadi kawasan ini sebagai lubuk emas perlu dipandang serius agar rakyat Malaysia yang sememangnya pemurah bersedekah tidak terus terpedaya dengan golongan terbabit.

“Mereka bukan sahaja tidak tahu berbahasa Melayu dan jika kita ingin mengambil gambar mereka tidak mahu dan akan terus lari.

“Jika hendak bersedekah lebih baik bersedekah kepada rumah-rumah anak yatim ataupun mas-jid dan surau daripada memberi kepada pengemis-pengemis ini,” katanya.

Sementara itu, R Viriya berkata, aktiviti meminta sedekah itu, bukan hanya dilakukan di sekitar kawasan-kawasan tumpuan awam seperti di premis kedai malah golongan pengemis ini juga bertindak berani meminta sedekah di atas jalan raya terutama ketika lampu merah.

Menurutnya, kejadian seperti ini sering dialaminya di persimpangan lampu isyarat berdekatan Wisma Keringat, Batu Caves.

“Warga asing ini akan pergi ke cermin kenderaan pengguna untuk meminta sedekah dan dia sanggup membahayakan keselamatan kerana bila lampu hijau, kenderaan mula memecut namun dia masih berada di atas jalan raya.

“Saya yakin ianya adalah satu sendiket kerana mereka dihantar ke sini dan memakai beg sandang untuk meletakan wang diperoleh supaya bekas mereka sentiasa kosong dan secara tidak langsung mendorong orang ramai memberi wang,” katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak berkenaan dapat segera mengambil tindakan terhadap pengemis-pengemis warga asing ini demi nama baik negara supaya tidak dipandang sinis dan negatif pelancong asing.- Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.