Pelaburan Emas Atau Pelaburan Lemas ?

Dewasa ini begitu ramai umat Islam terjebak dengan skim pelaburan emas yang menjanjikan pelbagai bentuk keuntungan beraneka wajah dan istilah. Namun apabila tembelang syarikat-syarikat ini mula pecah, ramai yang akhirnya menanggung kerugian. Tidak kurang juga yang marah dengan tindakan Bank Negara Malaysia membekukan aset-aset syarikat-syarikat ini lantaran disyaki melanggar peraturan dan undang-undang negara.

Sebelum ini juga, Majlis Fatwa Kebangsaan turut mengeluarkan fatwa pengharaman beberapa syarikat pelaburan emas yang jelas menyanggahi garis-panduan pelaburan emas sebagaimana digariskan syarak. Namun ramai tidak mempedulikannya lantaran status fatwa yang hakikatnya tiada kuasa perundangan dan hanya kekal sebagai fatwa selagi tidak digazetkan sebagai undang-undang oleh Kerajaan-kerajaan Negeri.

Penulis tidak berhajat mengulas kewajaran tindakan Bank Negara bertindak kerana isu ini masih dalam siasatan pihak berwajib. Apa pun kerajaan berhak melakukan tindakan jika bertujuan memelihara kemaslahatan umum dan mengelak sebarang kemudaratan awam kerana ia termasuk dalam ruang lingkup siayasah syari’yyah sebagaimana ditetapkan dalam kaedah: “Sesuatu yang dilakukan pemerintah ke atas rakyatnya adalah bergantung kepada maslahah (kepentingan umum)” (Al-Suyuti, Al-Asybah wa al-Nazoir, h.121).

Hakikatnya emas merupakan komoditi ribawi yang tertakluk kepada hukum khusus yang ketat melibatkan aspek riba yang perlu difahami secara tuntas sebelum sebarang urus niaga dilakukan ke atasnya. Dalam konteks ini ulama hampir sepakat mengenai urus niaga emas yang wajib mematuhi beberapa syarat tertentu bagi mengelakkan terjebak dengan riba yang diharamkan.

Syarat pertama ialah perlu berlaku serah terima (taqaabud) emas yang dijual-beli dalam majlis akad atau ketika pemeteraian kontrak jual-beli emas tersebut. Ini berasaskan hadis Nabi SAW yang sahih dan jelas mengenainya: Dari Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Jangan kamu menjual emas dengan emas kecuali jumlah (timbangan) yang serupa (dijual) dengan jumlah yang serupa, dan jangan kamu lebihkan salah satu daripadanya berbanding yang satu lagi, dan jangan kamu menjual perak dengan perak kecuali jumlah (timbangan) yang serupa dengan jumlah yang serupa, dan jangan kamu lebihkan salah satu darinya berbanding yang satu lagi, dan jangan kamu menjualnya dalam keadaan salah satu (barangan tukaran itu) tiada (pada majlis akad) dan salah satu lagi diserahkan segera.” (Sahih Bukhari).

Syarat yang kedua pula mewajibkan dua item (emas atau perak) yang merupakan subjek bay’ al-sarf diserahkan secara lani (spot), dan mana-mana pihak yang bertransaksi tidak boleh meletakkan syarat penangguhan serahan.

Syarat ketiga menetapkan, dalam akad jual beli emas dan perak, tidak boleh dikenakan sebarang syarat khiyar atau pilihan. Ini bermakna apabila seseorang memeterai akad jual beli emas, jika dalam kontrak tersebut dia diberikan pilihan (khiyar) untuk meneruskan atau membatalkan kontrak setelah akad dimeterai maka urus niaga emas tersebut tidak sah sebagaimana pandangan Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie.

Syarat terakhir disebut sebagai ‘tamathul’ atau persamaan kadar jika pertukaran yang dilakukan melibatkan dua jenis komoditi ribawi yang sama jenis seperti pertukaran antara emas dengan emas.

Berbalik kepada skim pelaburan emas yang ditawarkan beberapa syarikat pelaburan yang ketika ini disita asetnya oleh Bank Negara, memang terdapat unsur-unsur syubhah yang menyanggahi syarak.

Pertama, ada syarikat yang menjual emas dan melakukan satu bentuk perjanjian antara dua pihak (muwaadah) untuk syarikat membeli balik emas pada masa tertentu yang disebut sebagai tempoh matang. Ini tentunya menyalahi syarak lantaran menyamai akad jual beli emas bertempoh yang dilarang syarak sebagaimana disebut dalam syarat yang disebutkan di atas.

Kedua, sementara menanti tempoh matang ini, terdapat juga syarikat menawarkan pemberian hibah yang menyandarkannya kepada peratusan harga belian emas, contohnya dua atau tiga peratus daripada harga belian dan dibayar selama mana belum sampai tempoh matang. Dalam transaksi sebegini, jual beli emas adalah semata-mata helah untuk menghalalkan transaksi riba.

Justeru, masyarakat khususnya umat Islam mesti kembali menghalusi setiap pelaburan yang ingin disertai mereka. Jangan sesekali terpedaya dengan mainan istilah terutamanya yang mudah melabelkan skim-skim pelaburan dengan pelbagai istilah agama. Kadangkala label-label agama sebeginilah yang mudah memperdayakan masyarakat hingga terjerumus dalam skim-skim cepat kaya atau ponzi dalam bentuk baru.

Sebab itulah umat harus dididik dan disuntik kesedaran mereka agar benar-benar memahami aspek halal-haram dalam aktiviti pelaburan dan muamalah harian. Ingatlah bahawa kebahagiaan hakiki amat terkait dengan sumber pendapatan dan perolehan yang diberkati ALLAH. Jika pendapatan diperoleh daripada sumber-sumber riba, syuhbah dan haram, pastinya natijah kehidupan kita tidak akan sejahtera, sebaliknya sentiasa dirudum dengan bahana dan gundah gulana.- Dr Asyraf wajdi Dusuki / http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/pelaburan-emas-atau-lemas-1.99295

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *