Soalan Pertama Di Tanya Sebelum Anda Membeli Emas
Soalan pertama yang biasanya saya akan bertanya kepada orang yang ingin memulakan pembelian emas ialah; apa tujuan anda membeli emas?
Ada yang menjawab; untuk pelaburan.
Ada yang menjawab; untuk simpanan.
Sebenarnya, tujuan utama seorang pembeli emas yang “tenang” membeli emas ialah untuk mengelakkan daripada “kebocoran” tunai.
Siapakah pembeli yang “tenang”?
Pembeli yang tenang ialah mereka yang tidak terkesan dengan turun naik harga emas. Mereka boleh membeli ketika harga emas naik. Mereka akan menambah pembelian bila harga emas turun.
Apakah rahsia pembeli yang tenang ini?
Mereka membeli kerana mereka hendak mengelakkan daripada “kebocoran” tunai.
Kebocoran tunai boleh berlaku dalam 3 keadaan:
1. Nilai tunai menyusut dibandingkan dengan matawang asing lain. Ini mungkin hasil daripada kegawatan ekonomi yang mana kita memerlukan lebih banyak keping tunai untuk membeli barang yang sama. Dari perspektif pembeli dan penjual, ini dipanggil “barang naik harga”.
2. Pemegang tunai mempunyai naluri untuk berbelanja dengan wang tunai di tangan. Belum hari gaji, deretan senarai barang “perlu” dan “tidak perlu” sudah pun siap sedia untuk diselesaikan.
3. Tunai yang banyak memungkinkan ia dipinjam oleh orang terdekat. Bila ini terjadi, tunai akan bocor. Ada juga kemungkinan hutang itu tidak dapat dikutip semula dan pemberi pinjam akan kecewa.
Jadi, bagaimana mengelakkan daripada kebocoran tunai?
Belilah aset seperti bangunan, rumah, tanah dan lain-lain. Aset sebegini menyimpan nilai dan akan meningkat dalam jangka masa panjang. Cumanya, proses pembelian dan penjualannya nanti akan melibatkan urusan-urusan yang sedikit merumitkan. Sebagai contoh, perlu kepada iklan untuk mencari pembeli, akan berlaku tawar menawar, kos-kos guaman dan lain-lain.
Jika begitu, apa alternatif yang anda ada?
Belilah emas sebagai ganti. Mudah dibeli, mudah dijual. Tidak perlu kepada proses dokumentasi yang cerewet dan pelbagai. Aset yang sangat mudah dicairkan juga adalah emas. Mudah digadai dan mudah dijual. Menyimpan nilai zaman-berzaman.
Kredit : Khairul Anuar Basri