Jualan Barang Kemas Meningkat
KETIDAKTENTUAN ekonomi dunia tidak menjejaskan pasaran barangan kemas di negara ini susulan minat berterusan rakyat Malaysia membeli barangan emas sebagai pelaburan selain sebagai kegunaan perhiasan diri.
Pengarah Urusan Habib Jewels, Datuk Meer Sadik Habib berkata, pasaran barangan kemas keluaran syarikatnya terus meningkat walau pun harga emas global semakin melonjak tinggi.
Malah, jelas beliau, kenaikan harga emas di pasaran dunia itu sebenarnya turut meyakinkan pembeli untuk membuat pelaburan emas termasuk membeli barangan kemas.
“Pembeli tidak hanya membeli barangan kemas sebagai perhiasan diri, malah mereka juga membelinya bagi tujuan pelaburan ekoran kenaikan harga emas yang begitu ketara sekarang,” katanya kepada media, selepas merasmikan Galeri Warisan Jawi Peranakan di Georgetown, Pulau Pinang.
Bagi memberi jaminan pelaburan kepada pelanggannya, katanya Habib juga mempunyai syarikat pajak gadai Islam Al Rahnu yang menerima gadaian barangan emas dan batu permata.
Beliau berkata, Habib Jewels juga telah mencapai jualan yang memberangsangkan pada tahun lalu dengan pendapatan jualan RM300 juta dan syarikat itu yakin dapat meningkatkan lagi jualannya tahun ini.
Meer Sadik berkata, kumpulan menyasar peningkatan pendapatan jualan antara 10 peratus hingga 20 peratus bagi tahun ini kerana menerima permintaan yang tinggi.
Bagi menampung permintaan tempatan itu, Habib bakal membuka cawangan barunya di Perak dan Pahang pada tahun ini dengan melaburkan RM4 juta bagi pembukaan setiap cawangan.
Katanya, Habib Jewels setakat ini belum bercadang membuka cawangannya di luar negara dan mahu memberi tumpuan terhadap pasaran tempatan namun, syarikat itu giat menjalankan promosi di luar negara sebagai usaha mempromosi jenama.
Mengenai Galeri Warisan Jawi Peranakan itu, beliau berkata, Habib melabur RM2 juta bagi kerja-kerja membaik pulih bangunan kedai asalnya di Jalan Masjid Kapitan Keling, Georgetown.
Galeri yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas itu mempamerkan lebih 100 koleksi barangan kemas dan batu permata antik termasuk barangan kemas yang berusia lebih 100 tahun yang dipakai oleh kaum wanita Jawi Peranakan di Pulau Pinang. – BERNAMA