Penalti Sehingga RM50 Juta Jika Jalankan Dan Promosi Skim Piramid
KUALA LUMPUR: Denda antara RM10 juta atau tidak kurang RM1 juta menunggu syarikat atau pertubuhan yang didapati bersalah kali pertama bagi mempromosi atau menjalankan skim piramid apabila pindaan ke atas Akta Jualan Langsung 1993 dikuatkuasakan kelak.
Denda tidak kurang RM500,000 dan tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali pula bagi individu yang melakukan kesalahan serupa untuk kali pertama.
Cadangan untuk meningkatkan jumlah denda itu terkandung di dalam Rang Undang-undang Jualan Langsung (Pindaan) 2010 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob di Dewan Rakyat, hari ini.
Pindaan akta itu juga bertujuan untuk meminda tajuk akta itu yang selepas ini akan dikenali sebagai Akta Jualan Langsung dan Skim Piramid 1993.
Selain itu, pindaan itu juga memperincikan bahawa jumlah denda bagi syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan kali kedua di bawah akta itu akan dinaikkan kepada maksimum RM50 juta atau tidak kurang RM10 juta.
Sementara individu yang mengulangi kesalahan yang sama boleh didenda tidak kurang RM1 juta dan tidak lebih RM10 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.
Pindaan itu turut membabitkan kenaikan jumlah denda ke atas syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen kepada RM1 juta berbanding RM250,000 sebelum ini.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta berbanding RM500,000 pada masa ini.
Penalti lebih tinggi turut menunggu individu yang menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen iaitu RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama berbanding RM100,000, penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Jualan Langsung 1993.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pindaan akta itu memperuntukkan denda sebanyak RM500,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali berbanding denda tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, pindaan akta itu juga bertujuan memperluaskan takrif jualan langsung dengan memasukkan jualan melalui transaksi elektronik.
Jualan melalui transaksi elektronik bererti jualan barang-barang atau perkhidmatan secara elektronik dengan menggunakan rangkaian pemasaran bagi maksud mendapatkan komisen, bonus atau apa-apa faedah ekonomi yang lain.
“Elektronik” mengikut pindaan itu ditakrifkan sebagai teknologi yang menggunakan elektronik, optik, magnetik, elektromagnetik, biometrik, photonik atau tekonologi lain. – BERNAMA